Australia panggil pemain muda

Australia panggil pemain muda

SYDNEY, 20 Sept – James Jeggo yang kini bermain di kelab Austria mungkin memperoleh kap pertamanya buat skuad Australia apabila dinamakan hari ini ke senarai skuad bagi kelayakan Piala Dunia menentang Arab Saudi dan Jepun bulan depan.

Jurulatih Ange Postecoglou telah melakukan tiga perubahan kepada skuad itu, memanggil Jeggo dan Craig Goodwin yang kini di Belanda, sementara pemain pertahanan Bailey Wright kembali selepas terlepas dua permainan awal disebabkan kecederaan.

Jeggo, 24, berpindah ke kelab SK Sturm Graz tahun ini selepas kempen berjaya bersama Melbourne Victory dan Adelade United di Liga-A Australia.

“Kami membuat beberapa perubahan terhadap skuad dengan memilih beberapa pemain yang cergas dan kami ingin melihat secara dekat aksi Craig Goodwin dan James Jeggo, yang telah memulakan musim mereka dengan cemerlang di Eropah,” ujar Postecoglou.

Gambar fail James Jeggo ketika bermain di kelab Adelaide United. - AFP
Gambar fail James Jeggo ketika bermain di kelab Adelaide United. – AFP

“Bailey Wright juga kembali selepas terlepas dua perlawanan awal disebabkan kecederaan dan kami pergi ke Arab Saudi dan kemudian kembali ke Melbourne bersama skuad yang kami selesa dan boleh meneruskan permulaan baik yang telah kami capai.”

Juara Asia Australia menewaskan Iraq 2-0 di Perth dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0 di Abu Dhabi awal bulan ini untuk memulakan pusingan akhir kempen kelayakan bagi Piala Dunia 2018 di Rusia.

Mereka akan berdepan Arab Saudi, yang menewaskan Thaildan dan Iraq dalam dua perlawanan awal mereka, di Jeddah pada 6 Oktober sebelum kembali ke Melbourne pada 11 Oktober untuk berdepan Jepun.

“Kedua-dua perlawanan ini begitu dekat jarak masanya selepas dua perlawanan yang kami mainkan berdepan Iraq dan UAE dan kami berdepan cabaran-cabaran serupa menentang lawan yang kuat, namun kami yakin dalam proses-proses dan perancangan kami,: ujar Postecoglou. – AFP