Australia per...

Australia perketat perbelanjaan ahli politik

SYDNEY, 13 Jan – Australia memperketat pengawasan dalam perbelanjaan ahli politik hari ini selepas seorang menteri kanan meletak jawatan disebabkan pembelian sebuah pangsapuri mewah ketika lawatan yang dibiayai oleh pembayar cukai.

Kemarahan orang awam telah meningkat berhubung pendedahan mengatakan Menteri Kesihatan Sussan Ley membeli sebuah pangsapuri bernilai Aus$795,000 di Gold Coast ketika satu lawatan kerja rasmi – yang didakwanya merupakan satu pembelian mengikut gerak hati.

Ley mengundurkan diri pada awal minggu ini di tengah satu siasatan dan meletak jawatan hari ini.

Ini bersama pendedahan lanjut mengenai menteri lain yang menuntut perbelanjaan untuk menghadiri acara sukan mencetuskan tindakan oleh Perdana Menteri Malcolm Turnbull untuk menubuhkan satu agensi bebas untuk mengendali dan menyelia semua tuntutan oleh ahli parlimen.

Sebagai sebahagian daripada perubahan itu, perbelanjaan akan didedahkan secara bulanan dan boleh diperoleh dalam pangkalan data. Di bawah sistem sekarang, perbelanjaan didedahkan dua kali setahun.

“Saya menyokong pendapat bahawa ketelusan merupakan kunci. Cahaya matahari adalah penawar terbaik,” beritahu Turnbull kepada wartawan di Sydney.

Beliau berkata badan baru itu akan meniru model Britain, yang ditubuhkan pada tahun 2009 ekoran skandal perbelanjaan parlimen di mana beberapa wakil rakyat dipenjarakan. – AFP