Australia per...

Australia perketat ujian miliki kerakyatan

SYDNEY, 20 April – Canberra hari ini melancarkan rancangan untuk meletak ‘nilai Australia’ di tengah syarat-syarat yang lebih ketat untuk mendapatkan kerakyatan, beberapa hari selepas membatalkan satu program visa untuk pekerja asing sementara.

Tindakan itu diambil di sebalik latar belakang tekanan populis yang meningkat dan kebangkitan parti anti-penghijrahan Satu Negara yang dipimpin oleh Pauline Hanson.

“Kami ditentukan oleh komitmen untuk mendukung nilai-nilai umum, nilai politik, kedaulatan undang-undang, demokrasi, kebebasan, penghormatan, kesamaan untuk lelaki dan wanita,” beritahu Perdana Menteri Malcolm Turnbull kepada wartawan.

“Nilai asas berkenaan yang menjadikan kami warga Australia. Proses kerakyatan kami harus mencerminkannya. “Maka hari ini kami mengumumkan perubahan untuk memperkukuh kerakyatan, untuk menjadikan Australia lebih kuat, kerakyatan yang lebih kuat, rakyat yang lebih kuat.”

Syarat-syarat baru termasuk fasih berbahasa Inggeris, kepercayaan dalam kesamaan jantina dan tempoh kelayakan empat tahun. Calon untuk kerakyatan akan diwajibkan menjadi penduduk tetap selama empat tahun berbanding tempoh setahun sekarang.

Mereka juga perlu menunjukkan rekod pekerjaan dan bagaimana mereka berintegrasi dalam komuniti tempatan.

Ujian “sivik” untuk bakal rakyat Australia akan dikembangkan untuk termasuk isu seperti keganasan rumah tangga, kata Menteri Imigresen Peter Dutton.

“Kami berhak berkata jika anda mahu menjadi rakyat Australia, terdapat beberapa perkara yang ingin kami anda buktikan bahawa anda berkongsi,” tambah Turnbull. – AFP