Australia pindah pelarian PNG ke Nauru

SYDNEY, 11 Okt – Para pelarian yang ditahan di sebuah kem Australia di Papua New Guinea (PNG) yang dijangka akan ditutup bulan ini telah diberikan pilihan berpindah ke pusat tahanan lain di pulau Nauru.

Di bawah dasar imigresen keras Canberra, para pencari suaka yang cuba untuk sampai ke Australia dengan menaiki bot ditegah dari memasuki negara itu dan sebaliknya dihantar ke kem terpencil di Papua sementara menantikan petempatan di tempat lain.

Keadaan di kem-kem itu secara meluas telah dikritik oleh para penyokong pelarian dan juga profesional perubatan, dengan laporan penganiayaan meluas, membahayakan diri sendiri dan masalah kesihatan mental.

Mahkamah Papua New Guinea (PNG) pada tahun lalu memerintahkan bahawa menahan orang di Manus adalah tidak berperlembagaan dan kem itu kini dijangka akan ditutup menjelang akhir Oktober, dengan Canberra berkata hari ini bahawa orang pelarian boleh berpindah ke Nauru.

“Kerajaan Nauru telah bersetuju menerima pelarian di Nauru untuk menantikan petempatan negara ketiga,” seorang jurucakap bagi Menteri Imigresen Australia Peter Dutton berkata dalam satu kenyataan.

“Pemindahan adalah sukarela, tidak sesiapa pun akan dipaksa untuk berpindah ke Nauru.”

Para tahanan berdepan had akhir 23 Oktober untuk melahirkan keinginan mereka berpindah ke Nauru.

Canberra juga memeterai perjanjian dengan bekas presiden Barack Obama bagi AS untuk menempatkan semula bilangan orang pelarian yang tidak dinyatakan bilangan mereka dari Manus dan Nauru, tetapi perjanjian itu begitu dikritik oleh penggantinya, Donald Trump.

Kumpulan pertama 54 orang pelarian dari Manus telah dimaklumkan tentang penerimaan mereka ke AS pada lewat September lalu, dengan 24 orang terbang ke Amerika beberapa hari kemudian.

Namun beratus-ratus lagi masih berada di kem itu, dengan sebilangan orang melahirkan kebimbangan bahawa pemindahan ke Nauru mungkin seterusnya memanjangkan lagi penderitaan mereka. – AFP