Australia puji tindakan pantas Rio

Australia puji tindakan pantas Rio

RIO DE JANEIRO, 26 Julai – Delegasi Olimpik Australia di memuji tindakan pantas penganjur dalam menangani masalah di perkampungan sukan Olimpik yang menimbulkan rungutan kontinjen yang mengambil bahagian.

Hanya dua minggu sebelum temasya bermula pada 5 Ogos ini, delegasi Australia semalam berkata, mereka tidak akan masuk ke Perkampungan Olimpik di Rio kerana mendakwa kompleks baharu itu belum siap sepenuhnya dan tidak selamat didiami.

Bagaimanapun, ketua pasukan Olimpik Australia, Kitty Chiller mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana bertindak pantas mengerah ratusan pekerja penyelenggaraan dan pembersihan bagi mengatasi masalah bekalan elektrik, paip bocor dan tandas tersumbat di perkampungan sukan itu.

“Ada perkembangan baik hari ini,” kata Chiller dalam sidang akhbar di pusat media Olimpik.

“Ia kelihatan seperti kami dapat masuk ke sana Rabu ini seperti dirancang.” Datuk Bandar Rio, Mayor Eduardo sebelum ini berjanji akan menyelesaikan masalah di perkampungan berkenaan dan dengan sinis berkata, akan meletakkan kangaru di hadapan penempatan kontinjen Australia supaya mereka rasa seperti di negara sendiri.

Perkampungan sukan baru itu akan memuatkan lebih 18,000 atlet, pegawai, kakitangan dan sukarelawan sepanjang temasya Olimpik pada 5-21 Ogos dan Paralimpik pada 7-18 September. – Agensi