Australia rancang tambah eksport produk buaya

Australia rancang tambah eksport produk buaya

SYDNEY, 4 Jan (AFP) – Pegawai Australia sedang menimbang untuk menambah eksport produk buaya pada 2016, selepas perlindungan berdekad-dekad lamanya untuk menghalang mereka daripada diburu sehingga pupus telah menambah jumlah mereka.

Di bawah Pelan Pengurusan Perniagaan Hidupan Liar Buaya Air Masin baru (WTMP), yang berkuat kuasa pada awal tahun, kerajaan Northern Territory mahu menambah perniagaan dalam produk buaya, termasuk kulit. “WTMP menyokong pertumbuhan industri dengan membenarkan had maksimum pengeluaran 90,000 telur dan 1,200 haiwan,” kata Menteri Pengurusan Sumber Tanah Willem Westra van Holthe dalam satu kenyataan.

“Ini mewakili pertambahan 40 peratus untuk telur dan 100 peratus peningkatan untuk haiwan berbanding had pelan lima tahun sebelumnya.”

Telur diambil dari hutan akan dihantar ke ladang buaya untuk pengeraman, sementara haiwan hidup boleh digunakan untuk pembiakan atau eksport kulit dan bahagian tubuh badan lain.

Kerajaan tempatan berharap dapat menerima lebih banyak faedah daripada haiwan reptilia itu, yang dihimpun dalam jumlah beratus-ratus setiap tahun untuk melindungi penduduk. Haiwan reptilia itu dianggap haiwan perosak berbahaya di Northern Territory dan diburu sehingga hampir pupus sebelum dilindungi secara rasmi pada 1971. Jumlah tersebut telah meningkat sejak itu, sekali gus menimbulkan risiko kepada perenang, pengguna bot dan nelayan.

Lebih daripada 250 buaya dipindahkan dari jalan air sekitar Darwin, ibu negeri Northern Territory pada tahun lalu, termasuk buaya jantan sepanjang 4.25 meter.

“Buaya air masin dipindahkan dari kebanyakan kawasan wilayah, termasuk Pelabuhan Darwin, pinggir bandar utara serta anak sungai kecil dan serokan, bermakna mereka boleh ditemui di mana-mana pada bila-bila masa,” kata renjer Tom Nichols.

Kerajaan Australia menolak idea pemburuan buaya safari pada 2014, dengan Menteri Alam Sekitar Greg Hunt berkata mereka menimbulkan risiko “tingkah laku kejam dan tidak berperikemanusiaan.”

ARTIKEL YANG SAMA