Australia runding hantar pelarian ke Filipina

Australia runding hantar pelarian ke Filipina

SYDNEY, 9 Okt (AFP) – Australia berkata hari ini ia sedang berunding dengan Filipina untuk menghantar pelarian ke sana, tetapi enggan mengesahkan laporan mengenai satu perjanjian berjumlah Aus$150 juta untuk mengembangkan dasar penempatan semulanya.

Di bawah dasar ketat Australia untuk menghalang bot orang pelarian daripada sampai ke pantainya, mereka yang tiba menerusi laut tidak diberikan penempatan di Australia walaupun jika didapati merupakan pelarian sebenar.

Mereka dihantar ke kem di negara pulau Pasifik Nauru dan Papua New Guinea dan dalam beberapa bulan ini Australia telah mendapatkan negara baru untuk menempatkan pelarian.

Satu laporan muka surat depan dalam akhbar The Daily Telegraph berkata Menteri Luar Julie Bishop telah bersetuju perjanjian dengan rakan sejawatan Filipina di New York dan ia sedang menunggu tandatangan daripada Presiden Benigno Aquino.

“Kami mengadakan perbincangan dua hala dengan negara lain, termasuk Filipina pada peringkat pegawai dan peringkat menteri dalam tempoh beberapa bulan dan menteri luar jelasnya bercakap dengan rakan sejawatannya di New York baru-baru ini,” beritahu Menteri Imigresen Peter Dutton kepada wartawan.

“Saya tidak akan memberi komen mengenai tahap perbincangan. Saya fikir adalah paling baik kami membincang isu berkenaan secara peribadi bersama rakan tersebut.”

Canberra telahpun mencapai satu perjanjian dengan Kemboja untuk menerima pelarian sebagai tukaran kepada bantuan berjumlah berjuta-juta dolar dalam tempoh empat tahun akan datang.

Hanya empat pencari perlindungan yang setakat ini telah menerima tawaran kehidupan baru di Kemboja, sementara perjanjian itu sendiri telah dikecam oleh kumpulan hak.

“Kami akan meneruskan rundingan dengan Filipina disebabkan timbulnya kejujuran di kedua-dua pihak,” kata Dutton.

“Jika kami boleh mencapai satu perjanjian yang memberikan kepentingan kepada negara kami dan daripada perspektif Filipina, negara mereka, kami akan mencapainya.”