Australia ‘sangat bimbang’ penahanan wartawan di M’sia

Australia ‘sangat bimbang’ penahanan wartawan di M’sia

CANBERRA, 14 Mac (Reuters) – Australia sangat bimbang dengan penahanan dua wartawan Australia di Malaysia selepas mereka cuba menemu bual Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berhubung dakwaan rasuah, menurut Menteri Luar Julie Bishop hari ini.

Wartawan-wartawan dari program kewartawanan siasatan Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), Four Corners, telah ditahan di negeri Sarawak malam Sabtu lalu selepas menghampiri Najib di luar sebuah masjid.

Polis Malaysia berkata dalam satu kenyataan kedua-dua mereka itu telah diberkas kerana gagal mematuhi arahan polis supaya tidak mencerobohi garisan keselamatan.

Mereka telah dibebaskan dengan ikat jamin semalam dan didakwa ‘menghalang kakitangan awam melaksanakan majlis awam.” Bishop memberitahu radio ABC, Australia ‘sangat bimbang’.

“Kami memberi bantuan konsul kepada kru ABC dan pasti membangkitkan isu ini pada tahap sesuai dengan kerajaan Malaysia,” katanya.

Najib terus berdepan tekanan supaya meletak jawatan sejak pertengahan tahun lalu ekoran dakwaan rasuah berkaitan dana kerajaan 1Malaysia Development Berhad yang dibebani hutang dan kemasukan ke dalam akaun peribadinya berjumlah kira-kira AS$680 juta. Beliau menafikan sebarang salah laku dan menegaskan beliau tidak menggunakan dana itu bagi kegunaan peribadi.

Sally Neighbour, penerbit eksekutif program itu, menyatakan di Twitter bahawa wartawan-wartawan itu berada di Malaysia untuk melaporkan tentang skandal rasuah dan menafikan sebarang dakwaan salah laku bagi pihak mereka.

“Wartawan-wartawan kami melakukan apa yang dilakukan oleh wartawan-wartawan di negara-negara dengan media bebas,” katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA