Australia sedia hadapi siklon

Australia sedia hadapi siklon

SYDNEY, 10 Okt – Warga Australia diingatkan supaya bersedia untuk menghadapi kepulangan siklon tropika yang lebih aktif yang akan bermula dari November hingga April tahun depan.

Pengurus Perkhidmatan Ramalan Iklim Biro Kaji Cuaca (BOM) Australia Dr Andrew Watkins berkata dalam satu kenyataan bahawa warga Australia harus menjangka musim siklon tropika yang purata kepada lebih purata disebabkan keadaan La Nina yang neutral hingga lemah di Lautan Pasifik.

“Tahun ini kami mengalami suhu permukaan laut yang lebih panas daripada purata di sekitar utara Australia, dan ia akan membantu menyemarak musim siklon tropika pada masa akan datang,” kata beliau.

“Sejarah menunjukkan dalam musim purata, kira-kira 11 siklon terbentuk di rantau Australia di antara November dan April. Secara purata, empat di antaranya akan mendarat,” kata beliau.

Pada tahun lalu, Australia mencatat jumlah siklon tropika paling rendah dengan tiga terbentuk sahaja ketika musim. Hanya satu mendarat, dengan Siklon Tropika Stan menyeberangi Pantai Pilbara di Australia sebagai sistem Kategori 2, kata BOM. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA