Australia Selatan-Asia Tenggara tingkat perdagangan

Australia Selatan-Asia Tenggara tingkat perdagangan

MELBOURNE, 30 April – Menteri Negeri Australia Selatan untuk Pelaburan dan Perdagangan, Martin Hamilton-Smith akan melawat Singapura, Malaysia dan Thailand bagi meningkatkan kehadiran wilayah itu di Asia Tenggara.

Hamilton-Smith selaku ketua rombongan misi perdagangan itu, akan membawa pegawai-pegawai kerajaan yang utama bagi membuka jalan untuk meletakkan pegawai dari Australia Selatan di dalam pejabat Suruhanjaya Perdagangan Australia (Austrade) di negara-negara tersebut.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini, berkata peningkatan kehadiran wilayah itu di Asia Tenggara akan membantu mengukuhkan hubungan budaya dan perdagangan serta merupakan kunci hasil daripada Jabatan Pembangunan Negeri yang telah melancarkan Strategi Hubungan Australia Selatan-Asia Tenggara baru-baru ini.

“Strategi ini menerangkan rangka kerja terperinci tentang bagaimana kami boleh meningkatkan kehadiran di dalam rantau Asia Tenggara dan membina hubungan ekonomi, budaya dan sosial yang lebih kukuh.

“Asia Tenggara merupakan ekonomi yang paling pesat membangun di dunia dan ia menawarkan peluang yang menarik di sini untuk dibina berdasarkan hubungan kami yang telah sedia ada serta membuka hubungan baharu yang akan memberi faedah ke atas perdagangan Australia Selatan,” katanya.

Menteri Negeri Australia Selatan untuk Pelaburan dan Perdagangan, Martin Hamilton-Smith.
Menteri Negeri Australia Selatan untuk Pelaburan dan Perdagangan, Martin Hamilton-Smith.

Strategi itu bertujuan mengeratkan hubungan antara Australia Selatan dengan Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Myanmar, Brunei, Kemboja, Laos dan Timor-Leste.

“Sebagai sebahagian daripada strategi tersebut, kerajaan negeri akan menambahkan kehadiran di pejabat Austrade di Malaysia, Singapura dan Indonesia,”, katanya. – Bernama