Australia siasat skandal kewangan

SYDNEY, 12 Feb – Australia membuka siasatan yang lama dinantikan terhadap industri kewangan hari ini selepas beberapa siri skandal menggoyahkan keyakinan dalam sektor berkenaan.

‘Empat buah bank besar’ milik negara itu – di antara negara maju yang terkaya di dunia – telah dikawal rapi beberapa tahun ini di tengah-tengah dakwaan nasihat kewangan dan insurans nyawa yang tidak boleh dipercayai, termasuk penipuan gadai janji.

Turut timbul dakwaan mengenai pelanggaran terhadap undang-undang anti-penggelapan wang dan kadar faedah.

Perdana Menteri Malcolm Turnbull telah lama menolak permintaan pembangkang Buruh untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat salah urus, dengan mendakwanya sebagai satu pembaziran wang, tetapi tekanan politik yang meningkat telah memaksanya untuk mengambil tindakan.

Dengan ketidakpastian terhadap isu tersebut yang telah menjejaskan keyakinan pelabur asing, beliau telah mengumumkan siasatan pada hujung tahun lalu untuk menyiasat ‘bank negara, besar dan kecil, pengurus kekayaan, pembekal persaraan dan syarikat insurans.’

Ketua Persatuan Pengurus Bank Australia Anna Bligh berkata perbicaraan itu mungkin tidak menyenangkan.

“Adalah penting siasatan dijalankan untuk mengatasi isu yang telah menjejaskan orang awam,” beritahunya kepada stesen radio ABC.

“Saya menjangka ia akan menyukarkan pihak bank dan kakitangan mereka.”

Suruhanjaya Diraja bagi Salah Urus Perbankan, Persaraan dan Industri Perkhidmatan Kewangan mempunyai kuasa untuk memanggil saksi dan mendapatkan bukti.

Sementara ia membenarkan polis memohon untuk mendapatkan waran menggeledah dan saksi yang gagal hadir boleh ditahan, ia tidak dapat mengarahkan pembayaran wang pampasan kepada mereka yang terjejas yang berpunca daripada sebarang perbuatan salah. – AFP