Australia tempat pertama terima imej Pluto

Australia tempat pertama terima imej Pluto

SYDNEY, 14 Julai (Reuters) – Stesen menjejak angkasa lepas yang dikelilingi oleh lembu di lembah Australia hari ini akan menjadi tempat pertama di dunia yang menerima gambar Pluto secara dekat, planet paling jauh yang pernah ditinjau.

Selepas berjalan 5.3 juta km selama sembilan dan setengah tahun, kapal angkasa lepas Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Nasional (NASA) New Horizons akan menghampiri 12,500 km dari Pluto pada petang ini.

Kapal angkasa lepas itu telahpun dihantar khas untuk mengambil gambar Pluto, sebahagian daripada sistem solar yang telah berada dalam keadaan beku selama berbilion tahun. Data tersebut akan dihantar ke stesen penjejak di Kompleks Komunikasi Angkasa Lepas Canberra (CDSCC).

“Ia amat menarik disebabkan kami tidak pernah melawat Pluto, sama ada menerusi robot atau misi manusia kerana ia terletak amat jauh,” beritahu Pengarah CDSCC Ed Kruzins kepada Reuters.

Sehingga sekarang, tidak banyak yang diketahui mengenai Pluto, planet paling jauh dalam sistem solar dan yang terakhir ditinjau oleh NASA.

Imej planet Pluto yang diambil oleh New Horizons NASA. – AFP
Imej planet Pluto yang diambil oleh New Horizons NASA. – AFP

Ia diturun taraf daripada planet kepada planet kecil pada 2006 dan dipercaya mengandungi petunjuk penting mengenai asal-usul sistem solar.

“Timbulnya perasaan di kalangan ahli sains bahawa Pluto mungkin akan memberitahu kami rupa sistem solar dan ia kini berada dalam keadaan beku dan mungkin ia akan memberitahu kami apa rupa kami pada era lalu,” kata Kruzins.

New Horizons, kapal angkasa lepas paling laju yang pernah dilancarkan, dijangka menghantar satu mesej yang akan diterima oleh stesen penjejak Australia esok – mesej utama yang akan menentukan sama ada misi adalah berjaya.

Setiap data seterusnya mengambil masa empat setengah jam untuk disiarkan, dengan set data penuh mengambil masa kira-kira 15 bulan untuk lengkap.

New Horizons akan berjalan pada 58,000 km sejam melintasi Pluto, kata Kruzins, yang mungkin menimbulkan masalah jika terdapatnya serpihan angkasa lepas.