Australia ‘terbuka’ beri bantuan kewangan

Australia ‘terbuka’ beri bantuan kewangan

PERTH, 6 Sept (AFP) – Australia akan menerima lebih ramai pelarian dari khemah yang bersempadan dengan Syria dan Iran dan “terbuka” kepada memberi lebih banyak bantuan kewangan, menurut Perdana Menteri Tony Abbott hari ini, sambil menambah bahawa “respons mantap keselamatan” diperlukan bagi rantau itu.

Kerajaan Australia dijangka membuat keputusan dalam minggu ini tentang sama ada untuk menyertai serangan udara ke atas para pejuang kumpulan Negara Islam (IS) di Syria, setelah menjadi sebahagian operasi itu di Iraq sejak tahun lalu.

“Adalah penting adanya respons kemanusiaan, tetapi adalah penting terdapatnya respons mantap keselamatan juga,” Abbott memberitahu para pemberita di Canberra.

Menteri Imigresen, Peter Dutton akan pergi ke Geneva untuk menemui Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Orang Pelarian(UNHCR) untuk bertanya apakah bantuan seterusnya yang boleh disediakan oleh Australia, kata Abbott lagi.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott. – AFP
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott. – AFP

“Kami mudah mengambil lebih ramai orang dari rantau bertikai ini,” kata Abbott. “Kami terbuka menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada UNHCR.”

Pengumuman kerajaan dibuat ketika krisis orang pelarian di Eropah bertambah teruk, dengan ramai ahli politik kanan Australia menggesa bagi pengambilan segera 20,000 orang pelarian Syria.

Sementara menunjukkan kesediaan untuk mengambil lebih ramai orang pelarian dari Syria dan Iraq, Abbott enggan menyatakan sama ada keseluruhan pengambilan kemanusiaan negara itu, yang pada masa ditetapkan pada kira-kira 14,000 orang, akan bertambah, atau peluang ditutup bagi orang pelarian dari tempat lain di dunia.

Beliau mengatakan bahawa mengikut asas setiap kapita, Australia terus menerima lebih ramai orang pelarian melalui UNHCR dari mana-mana negara lain.