Australia tolak dakwaan lengahkan kemasukan pelarian

Australia tolak dakwaan lengahkan kemasukan pelarian

SYDNEY, 18 Feb (Reuters) – Menteri Imigresen Australia Peter Dutton hari ini menolak dakwaan negaranya melengah-lengahkan penempatan pelarian dari Syria dan Iraq, setelah menempatkan 26 orang dalam masa sama yang diambil oleh Kanada untuk memproses 26,000 orang.

Bekas Perdana Menteri Tony Abbott pada September lalu berjanji akan menerima 12,000 pelarian dari Syria di samping program pengambilan kemanusiaan seramai 13,750 orang di Australia buat masa sekarang.

Dutton berkata kadar penempatan semula adalah ditentukan berdasarkan sebab-sebab keselamatan negara. Keselamatan sempadan merupakan isu dasar yang hangat di Australia, yang dijadual mengadakan satu pilihan raya negara pada akhir tahun.

Pada mesyuarat Senat minggu lalu, pegawai imigresen berkata hanya 26 pelarian Syria yang telah tiba sejak pengambilan 12,000 diumumkan pada September. Menurut laman web utama kerajaan Kanada, 21,313 pelarian telah ditempatkan semula sejak November, sementara permohonan perlindungan 4,687 orang telah diluluskan tetapi masih belum tiba.

Majlis Pelarian Australia mendapati negara jiran New Zealand telah menempatkan 82 daripada 200 pelarian Syria yang dipersetujui akan diterimanya pada tahun lalu di bawah program yang sama.

“Kerajaan kami sedang melengah-lengahkan masa sementara seluruh duni bertindak lebih cepat untuk menunaikan janji mereka,” kata ketua majlis pelarian Paul Power.

“Adalah memalukan untuk semua yang terlibat program penempatan semula Australia menemui kebuntuan dalam penangguhan demokratik, apabila kerajaan Kanada dan New Zealand telah membuktikan bahawa adalah tidak mustahil untuk bertindak dengan lebih cepat.”

Keputusan Australia untuk menerima 12,000 orang yang melarikan diri dari Syria dan Iraq diambil sebagai respon kepada permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menetap dasar perlindungan yang lebih padu untuk mengatasi sejumlah besar pelarian yang membanjiri Eropah untuk melepaskan diri daripada konflik Syria berusia empat tahun itu.

ARTIKEL YANG SAMA