Australia tolak permohonan AS

Australia tolak permohonan AS

SYDNEY, 14 Jan (AFP) – Australia telah menolak satu permohonan daripada Amerika Syarikat untuk mendapatkan lebih banyak bantuan tentera untuk mengatasi kumpulan Islamic State, berkata ia telahpun membuat sumbangan ‘besar’ kepada perjuangan.

Setiausaha Pertahanan AS Ash Carter pada Disember meminta komitmen yang lebih daripada rakan gabungan yang bertempur menentang penyokong jihad dan militan lain di Iraq dan Syria selepas serangan Paris di mana 130 orang terbunuh.

Perdana Menteri Malcolm Turnbull mengisyaratkan pada masa itu bahawa tidak timbulnya minat untuk tindakan sedemikian dan Menteri Pertahanan Marise Payne berkata komitmen Australia sekarang adalah mencukupi.

“Australia telah menimbang permohonan daripada Setiausaha Pertahanan AS Ash Carter memandangkan sumbangan besar yang kami berikan untuk melatih anggota keselamatan dan kepada kempen udara,” kata beliau dalam satu kenyataan lewat semalam.

“Kerajaan telah menasihat Setiausaha Carter bahawa sumbangan kami akan diteruskan.”

Keputusan itu diambil beberapa hari sebelum pertemuan Turnbull dengan Presiden AS Barack Obama di Washington pada satu lawatan yang menumpu pada pengganas dan perbalahan wilayah. Ketika lawatan, beliau akan menyampaikan ucapan keselamatan negara di Pusat untuk Kajian Strategik dan Antarabangsa.

Australia mempunyai 780 kakitangan pertahanan di Timur Tengah untuk menyokong operasinya ke atas IS dan telah aktif di Iraq berbulan-bulan lamanya. Ramai yang berpangkalan di Iraq dengan 400 ditempatkan di Kumpulan Petugas Udara yang membawa enam F/A-18 Hornets untuk misi pengeboman.

Seramai 300 orang lagi berada di Baghdad untuk membantu melatih anggota keselamatan Iraq sementara 80 orang menasihat dan membantu operasi cegah keganasan dengan tentera Iraq. Lewat tahun lalu, Australia mula melancarkan serangan udara ke atas sasaran IS di Syria sebagai sebahagian daripada gabungan 60-negara pimpinan ke atas penyokong jihad.

Payne berkata sementara tidak terdapatnya perubahan dalam komitmen tentera Australia sekarang, ia akan menawarkan lebih banyak sokongan kepada usaha kemanusiaan sementara mengkaji semula opsyennya.

ARTIKEL YANG SAMA