Australia umum sistem amaran baru

Australia umum sistem amaran baru

SYDNEY, 23 Julai – Australia hari ini mengumumkan sistem amaran keganasan yang lebih jelas ketika negara itu berdepan apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri Tony Abbott ancaman pelampau paling teruk dalam sejarahnya, dengan kerajaan menggariskan strategik jangka panjang untuk menangani kepayahan itu.

Sistem baru itu akan diperkenalkan lewat tahun ini, tertakluk pada perundingan masyarakat, dengan tahap ancaman baru akan: pasti, dijangkakan, mungkin, barangkali dan tidak dijangkakan, yang menurut Abbott akan lebih mudah untuk orang awam memahaminya.

“Pada masa ini, tahap amaran pengganas adalah amat teruk, tinggi, sederhana dan rendah dan wujud sedikit interpretasi terlibat di dalamnya,” ujar beliau selepas sidang mesyuarat di Sydney dengan pemimpin lapan negeri dan wilayah di negara itu.

“Sebarang perubahan kepada tahap ancaman di bawah sistem baru akan disertai dengan kenyataan yang memberikan lebih banyak maklumat tentang apakah maksud tahap baru ancaman, dari mana datangnya ancaman, apakah sasaran yang berpotensi dan kaedah serangan yang mungkin dilakukan.”

Kerajaan semakin bimbang dengan aliran pejuang-pejuang ke Iraq dan Syria untuk menyertai kumpulan seperti Islamic State (IS), dengan kira-kira 120 warga Australia telah pun berada di rantau itu dan 160 secara aktif menyokong pertubuhan pelampau melalui pembiayaan dan perekrutan.

Tahap ancaman ganas Australia dinaikkan ke tahap tinggi pada September tahun lalu dengan dua serangan sejak itu – penikaman dua anggota polis di Melbourne dan pengepungan kafe di Sydney yang membawa maut – dengan enam lagi serangan telah gagal, menurut kerajaan.

“Pada masa ini Australia berdepan ancaman paling ketara dari keganasan dalam sejarah negara kita,” kata Abbott.

“Ancaman keganasan adalah benar dan terus meningkat dan berkembang.”

Sebagai sebahagian usahanya untuk menangani fahaman pelampau, kerajaan telah mengeluarkan strategi baru jangka panjang yang menumpu dengan memberi maklumat kepada masyarakat tentang ancaman pengganas dan apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk menanganinya.

Ia menumpu lima unsur teras, termasuklah mencabar ideologi pelampau ganas, menghalang mereka yang menjadi pengganas dengan bekerjasama dengan anggota masyarakat untuk mengenal pasti mereka yang paling berisiko dan gangguan awal kegiatan pengganas. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA