Austria belum putus asa

Austria belum putus asa

UEFA-Euro-2016-Logo

PARIS, 22 Jun (AFP) – Pasukan Austria bimbingan Marcel Koller mempunyai satu lagi peluang untuk menyelamatkan kempen Euro 2016 mereka apabila berdepan Iceland di Stade de France, pada tengah malam ini.

Dianggap sebagai pencabar luar sebelum saingan menyingkap tirainya, Austria bergelut untuk mengulangi rentak cemerlang pada kempen kelayakan dan kini terjerumus ke tangga terbawah Kumpulan F dengan sekadar satu mata.

Bagaimanapun, Austria masih boleh menempah tiket ke pusingan kalah mati, namun dengan syarat wajib menewaskan Iceland selepas tunduk 2-0 kepada Hungary dan terikat tanpa jaringan bersama Portugal sebelum ini.

Iceland turut mempunyai impian untuk mara ke pusingan kalah mati dan Koller, yang berdepan tekanan menggunung walaupun baharu saja menyambung kontrak selama dua tahun pada Mac lalu, mengakui rintangan besar menanti Austria untuk mengelak daripada tersingkir.

“Kami tidak boleh menganggap pertemuan menentang Iceland sebagai mudah,” katanya. “Ia akan menjadi perlawanan yang kurang menyenangkan.

“Kita dapat lihat dalam dua perlawanan terakhir, mereka sangat disiplin, keras dalam melakukan bentesan dan padat ketika bertahan.

“Kami perlu mencipta peluang. Kami hanya perlu memastikan bola bergolek melepasi garisan gol, tidak kisah walau seinci sekali pun bola itu melepasi garisan, yang penting ia melepasinya.”

Koller berkata, dia enggan mengambil sebarang risiko terhadap Zlatko Junuzovic yang baharu pulih daripada kecederaan lutut, tetapi pertahanan tengah Aleksandar Dragovic kembali bebas untuk beraksi selepas selesai menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA