Austria penjara remaja atas dakwaan ‘pengganas’

Austria penjara remaja atas dakwaan ‘pengganas’

SANKT-POELTEN, Austria, 26 Mei (AFP) – Seorang remaja Austria berusia 14 tahun yang berhubungan dengan pelampau Islam telah disabit bersalah hari ini kerana merancang untuk mengebom landasan kereta api Vienna dan dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan.

Pelajar lelaki yang dinamakan Mertkan G., juga didapati bersalah terlibat dengan persatuan ‘pengganas’ dan diberi hukuman penjara tambahan selama 16 bulan oleh sebuah mahkamah di tempat asalnya, Sankt-Poelten.

Menurut kertas tuduhan, remaja itu, yang berhijrah dari Turki pada 2007, ingin menjalankan serangan sebelum berkunjung ke Syria untuk menyertai ‘perang suci’ bersama-sama kumpulan Islamic State (IS).

Polis mengatakan pada masa penangkapannya Oktober 2014, remaja lelaki itu telah membuat ‘penyelidikan konkrit tentang pembelian bahan-bahan’ bagi membuat bom dan ‘merancang untuk meletupkannya di tempat awam dan stesen landasan kereta api utama.

Peguamnya, Rudolf Mayer memberitahu AFP yang kliennya itu hanya ‘ingin mengetahui idea’ pembuatan bom. Menurut laporan akhbar yang tidak disahkan, IS telah menawarkan untuk membayarnya 25,000 euro ($27,250) jika dia berjaya melaksanakan serangan itu.

ARTIKEL YANG SAMA