Austria perketat pemeriksaan sempadan

Austria perketat pemeriksaan sempadan

VIENNA, 20 Jan – Tentera Austria akan mula menjalankan pemeriksaan identiti menyeluruh dan beg, bermula esok untuk setiap pendatang yang tiba di sempadan utama dengan Slovenia.

Langkah itu adalah sebahagian tindakan terbaharu kerajaan dalam menangani krisis pelarian di Eropah. Jurucakap polis, Fritz Grundnig, hari ini berkata, kira-kira 500 tentera akan membantu polis dalam memproses sehingga 6,000 pendatang setiap hari di sempadan Spielfeld di negeri selatan Styria.

Tahun lalu, pasukan keselamatan negara itu menguruskan purata 11,000 pendatang setiap hari, yang menyeberangi ke dalam Austria.

“Sehingga kini, kami hanya berupaya menjalankan pemeriksaan rawak, namun tindakan baharu ini akan membolehkan kami memastikan kawalan lebih ketat ke atas setiap pendatang,” katanya.

Pada awalnya, tentera hanya memproses “beberapa ratus pendatang”, sementara yang lain akan dibenarkan menyeberangi dari Slovenia menerusi laluan sempadan lain Austria di Carinthia.

Langkah baharu itu muncul beberapa hari sebelum Austria dijangka menyelesaikan pembinaan pagar penghadang sepanjang 3.7 kilometer di Spielfeld. – AFP