Austria tidak dapat terima lebih 100,000 penghijrah setahun

Austria tidak dapat terima lebih 100,000 penghijrah setahun

VIENNA, 21 Dis (Reuters) – Naib Canselor Austria berkata hari ini Austria tidak boleh menerima lebih daripada 100,000 penghijrah setahun, ekoran janji daripada negara jirannya yang lebih besar Jerman untuk mengehadkan ketibaan.

Beratus ribu orang, kebanyakan mereka melarikan diri daripada konflik dan kemiskinan di Timur Tengah, Afghanistan dan tempat lain, telah memasuki Austria dalam perjalanan mereka ke barat laut dari Balkan sejak awal September.

Kebanyakan mereka telah meneruskan perjalanan ke Jerman, tetapi Austria masih menjangka akan menerima kira-kira 95,000 permohonan perlindungan pada tahun ini, bersamaan dengan lebih 1 peratus daripada penduduknya, berbanding dengan 28,000 yang didaftar pada 2014. Daripada jumlah itu, 38 peratus telah diluluskan.

“Kira-kira 90-100,000, lebih ramai lagi tidak mungkin diproses,” beritahu Reinhold Mitterlehner, daripada rakan junior dalam gabungan, OVP, kepada radio ORF.

Canselor Werner Faymann, Demokrat Sosial yang pada umumnya mengamalkan dasar yang lebih lembut mengenai isu berkenaan berbanding konservatif, dipetik sebagai berkata pada Sabtu bahawa Austria harus mempertingkat penghantaran pulang penghijrah yang tidak layak untuk mendapatkan perlindungan.