AVB ‘pulang’ bersama Zenit

AVB ‘pulang’ bersama Zenit

LISBON, 16 Feb – Zenit St Petersburg kembali daripada rehat dua bulan musim sejuk dengan sasaran untuk meneruskan penguasaan ke atas lawan dari Portugal.

Kelab juara Rusia itu akan bertandang ke Benfica untuk pertemuan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi ini.

Zenit mara ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan H, mengesahkan kelayakan sebelum dua perlawanan terakhir dan aksi penutup bertemu di Gent – mencemari kempen sempurna mereka.

Skuad kendalian Andre Villas-Boas yang memburu tiket ke suku akhir buat kali pertama, kembali ke negara asal pengendalinya untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut di bumi Portugal.

Axel Witsel dan Hulk meledak gol dalam kemenangan 2-0 Zenit di Estadio da Luz pada peringkat kumpulan musim lalu, tetapi Witsel, pemain kebangsaan Belgium yang pernah bersama Benfica, menjangkakan saingan berbeza kali ini.

Jurulatih Zenit, Andre Villas Boas (tengah) menyaksikan pemainnya menjalani latihan di stadium Luz, Lisbon semalam sebagai persediaan untuk menentang Benfica dalam aksi Liga Juara-Juara. – AFP
Jurulatih Zenit, Andre Villas Boas (tengah) menyaksikan pemainnya menjalani latihan di stadium Luz, Lisbon semalam sebagai persediaan untuk menentang Benfica dalam aksi Liga Juara-Juara. – AFP

“Perlawanan ini pasti sukar. Ketika itu perlawanan peringkat kumpulan, kini kelompok 16 terakhir,” kata Witsel.

“Ia adalah perlawanan kompetitif pertama kami untuk tahun ini dan kami sedar ia menguji fizikal kami. “Kami perlu bersedia dan ingat, yang perlawanan timbal balik menanti kami di Saint Petersburg.”

Ezequiel Garay menghabiskan masa tiga tahun di Lisbon sebelum bertemu semula dengan Witsel di Zenit untuk permulaan kempen 2014/15, dan pertahanan Argentina itu tetap waspada dengan Benfica walaupun tewas 2-1 di tempat sendiri kepada musuh ketatnya FC Porto.

“Kami menghadapi satu pasukan dengan pemain yang sangat baik. Mereka akan melalui musim yang baik tetapi pada masa yang sama kami juga mempunyai skuad yang kuat,” kata Garay. “Ia akan menjadi satu perlawanan menarik dan kami berharap untuk mendapatkan hasil yang baik juga.”

Zenit tidak begitu gah dalam persaingan domestik, tujuh mata di belakang pendahulu CSKA Moscow dengan perlawanan liga seterusnya awal Mac, tetapi mereka sudah biasa dengan Portugal selepas memenangi aksi persahabatan Piala Atlantik dengan menewaskan Algarve minggu lepas. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA