Awal tahun hijrah PDB

Awal tahun hijrah PDB

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) melalui Badan Ugama Islam, hari ini, telah mengadakan Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1438 dan Doa Kesyukuran Kepulangan Jemaah Haji Pasukan PDB.

Majlis yang diadakan di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong itu telah dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam selaku tetamu kehormat, berserta datin.

Turut hadir ialah Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Awang Mohammad Irwan bin Haji Hambali, pemangku timbalan pesuruhjaya polis dan para pegawai serta anggota pangkat rendah Pasukan PDB.

Majlis telah dimulakan dengan sembahyang sunat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO SM 6924 Pengiran Haji Ludin bin Pengiran Haji Matahir.

Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Abdul Rahman bin Ajak dengan membawakan tajuk ‘Ma’al Hijrah’.

Kemudian, majlis diteruskan dengan Dikir Marhaban dan Doa Kesyukuran bagi kepulangan jemaah haji Pasukan PDB. Seramai empat orang anggota pangkat rendah serta ahli keluarga telah diraikan pada majlis tersebut.

Majlis telah diakhiri dengan sembahyang fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Pengiran Haji Ludin.

Acara berkenaan diadakan sebagai salah satu aktiviti tahunan Badan Ugama Islam, Pasukan PDB bagi mengimarahkan lagi Surau Ibu Pejabat Polis Gadong serta menjalin silaturahim dalam kalangan warga Pasukan PDB.

ARTIKEL YANG SAMA