Awang Azim pelanggan pertama BMW X3 xDrive30i

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Setelah BMW X3 xDrive30i dilancarkan baru-baru ini, Awang Azim Kamis menjadi pelanggan pertama yang memiliki model mewah SUV premium itu.

Hadir menyerahkan kunci BMW X3 xDrive30i ialah Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Sivakumar Krishnan bersama jurujual syarikat, Ampuan Mohd Anwar di bilik pameran syarikat berkenaan.

Menurut Awang Azim, beliau sangat gembira memandu kereta baru beliau dan menjangkakan keselesaan dan prestasi yang sama seperti model BMW 5 Series beliau yang pertama.

Sementara itu, Sivakumar memberitahu bahawa lima pelanggan awal yang membeli model BMW xDrive30i itu akan menerima pakej jaminan lima tahun atau 100,000km di bawah perkhidmatan inklusif tambahan BMW.

Menurut Sivakumar lagi, mereka juga berpeluang menikmati pengalaman pemanduan BMW ke Gunung Bromo, Indonesia pada April tahun ini termasuk Awang Azim.

Sivakumar Krishnan (tengah) menyerahkan kereta BMW X3 xDrive30i kepada Awang Azim sambil disaksikan oleh Ampuan Mohd Anwar (kiri).

BMW X3 kali pertama dilancarkan pada tahun 2003 di bawah segmen SUV premium bersaiz sederhana dan telah merekodkan pendaftaran lebih 1.5 juta bagi kedua-dua generasi model berkenaan setakat ini.

Model ini menampilkan rupa muskular dengan watak X yang tersendiri, terima kasih kepada ‘jeriji buah pinggang’ yang lebih besar dan lebih menonjol, lampu belakang tiga dimensi dan paip ekzos berkembar.

Di samping itu, ia juga menawarkan ruang dalaman yang mewah dan ergonomik dengan balutan kulit Vemasca yang baru, kerusi sport yang direka bentuk semula dan kokpit yang fokus kepada pemandu.