Awang Iqfal juara Membaca Teks Khutbah

Awang Iqfal juara Membaca Teks Khutbah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 23 Mei – Awang Mohd Shahriful Iqfal bin Awang Abdul Sufri yang mewakili Masjid Muhammad Jamalul Alam telah diumumkan sebagai juara Peraduan Membaca Teks Khutbah Jumaat bagi Kumpulan Belia Masjid-Masjid Daerah Belait Tahun 1437 Hijrah yang berlangsung di Masjid Al-Mashhor Kampung Sungai Mau di sini, hari ini.

Sementara itu, tempat kedua telah dimenangi oleh Awang Nur Fikri bin Sofian dari Masjid Zainab Kampung Lumut dan Awang Abdul Nur Mafuuz bin Haji Buhari dari Masjid Kampung Sungai Liang menduduki tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

Peraduan anjuran Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Mashhor Kampung Sungai Mau itu telah disertai oleh seramai 12 orang belia yang mewakili kumpulan-kumpulan belia masjid di Daerah Belait.

Ia antara lain bertujuan sebagai usaha untuk melahirkan belia yang boleh membaca tulisan Jawi dengan baik, seterusnya untuk melahirkan belia yang berani tampil di khalayak ramai, di samping untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai melalui khutbah yang disampaikan.

Antara peserta Peraduan Membaca Teks Khutbah Jumaat, diadakan di Masjid Al-Mashhor Kampung Sungai Mau Belait.
Antara peserta Peraduan Membaca Teks Khutbah Jumaat, diadakan di Masjid Al-Mashhor Kampung Sungai Mau Belait.

Haji Haslan memberitahu, peraduan itu juga dihasratkan untuk mengukuhkan lagi tali silaturahim dalam kalangan para peserta, khususnya para belia di negara ini.

“Para belia merupakan aset yang penting bagi sesebuah negara, kerana merekalah yang bakal menerajui negara di suatu masa akan datang, dari itu untuk melahirkan belia yang syumul dan berguna di masa depan, mereka perlu diberikan latihan, dididik dan diberikan ilmu pengetahuan yang banyak terutama sekali ilmu-ilmu yang berhubung kait dengan agama,” katanya.

Peraduan juga merupakan salah satu cara bagi mendekatkan para belia dengan masjid, di mana mereka boleh mengikuti pelbagai aktiviti yang bermanfaat, di samping dapat menunaikan kewajipan syarak dan juga ibadat-ibadat yang lain seperti solat, membaca Al-Quran dan sebagainya.

Haji Haslan juga menyarankan ibu bapa dan penjaga supaya terus memberikan perhatian dan sokongan ke arah meningkatkan lagi ilmu pengetahuan terutama dari segi keagamaan kepada anak-anak mereka.

ARTIKEL YANG SAMA