Awang Masrizal menangi i-Banking Bank Baiduri

Awang Masrizal menangi i-Banking Bank Baiduri

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun – Awang Masrizal bin Haji Masri muncul sebagai pemenang bertuah dengan membawa pulang hadiah menarik berupa telefon bimbit, Apple iPhone 6S 16GB dengan hanya membuat transaksi perbankannya secara dalam talian menggunakan platform, i-Banking Bank Baiduri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, hari ini, hadiah kedua bagi promosi, Transact & Win, dimenangi oleh wakil dari KTL Services Sdn Bhd yang membawa pulang Apple Watch Sport 42mm, manakala hadiah ketiga dimenangi oleh wakil dari Parvati Textiles Centre yang membawa pulang GoPro Hero 4.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Pengurusan Operasi dan Kepelbagaian dan Pem-bangunan Strategik Bank Baiduri, Andrew Young.

Kenyataan menyatakan lagi, penyampaian hadiah berkenaan merupakan acara kemuncak bagi kempen Transact & Win yang dijalankan selama empat bulan bersempena dengan rekaan semula i-Banking Baiduri.

Rekaan semula itu merangkumi beberapa pembaharuan termasuk kemaskini masa sebenar bagi pembayaran sewa beli kereta serta melakukan pelbagai transaksi dalam satu laman dan juga membuat pemindahan dana kepada pihak ketiga dalam dan luar negara.

Andrew Young bergambar ramai dengan para pemenang.
Andrew Young bergambar ramai dengan para pemenang.

Ketiga-tiga pemenang berkenaan merupakan pengguna kerap platform perbankan dalam talian Baiduri dan sering menggunakan kemudahan pemindahan bagi pembayaran bil me-reka, tambah nilai elektrik dan membeli-belah daripada penjual di Instagram.

Awang Masrizal dipetik sebagai berkata, bahawa pada masa ini, apabila beliau membuat pertukaran dan pembayaran dalam talian, kaedah dua faktor pengesahan diperlukan serta perlu mengisikan pin menjadikan pemindahan yang dilakukan lebih selamat.

Di samping itu, katanya, beliau juga akan menerima pesanan ringkas bagi semua kegiatan dalam talian yang dilakukan.

Sementara itu, Andrew Young berkata jumlah pengguna transaksi dalam talian telah menunjukkan peningkatan sebanyak 80 peratus yang mana mereka juga mengatakan berasa selesa dengan kaedah itu.

Beliau juga menyatakan bahawa kajiselidik yang dijalankan baru-baru ini, mendapati bahawa sekurang-kurangnya 91.5 peratus pelanggan bank berkenaan telah menilai perkhidmatan dalam talian bank sebagai baik, amat baik dan cemerlang.

Beliau turut menyatakan amat menghargai maklum balas dari pelanggan mereka dan menjanjikan pelbagai pembaharuan akan diketengahkan lagi di masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA