Awang Mosli terima Anugerah SSEAYP Antarabangsa di Kemboja

Awang Mosli terima Anugerah SSEAYP Antarabangsa di Kemboja

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Rombongan seramai 19 orang bekas peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) bagi Brunei, baru-baru ini, telah menghadiri Perhimpunan Agung SSEAYP Antarabangsa ke-28 atau SIGA di Wilayah Siem Reap, Kemboja.

Projek tahunan anjuran Alumni SSEAYP Antarabangsa Kemboja membawa tema ‘Kerjasama SSEAYP bagi Dunia Lebih Hijau’ itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Negara, Dr. Sean Borath yang seterusnya menyampaikan Anugerah SSEAYP Antarabangsa kepada para penerima yang terpilih atas khidmat mereka kepada masyarakat.

Di antara penerima Anugerah SSEAYP Antarabangsa yang diberikan setiap tiga tahun sekali itu termasuklah ketua rombongan negara, Timbalan Presiden II (Kebangsaan), Persatuan Alumni BERSATU SSEAYP Antarabangsa Brunei, Awang Mosli bin Haji Abdul Hadis.

Beliau merupakan antara belia yang banyak menyumbangkan semangat kesukarelawanan sejak menyertai Program SSEAYP itu pada tahun 1987 ketika berusia 25 tahun, yang mana pada 2012, beliau juga dilantik menjadi duta muda untuk mengetuai 28 orang belia Brunei bagi rombongan SSEAYP ke-39 sebagai Pemimpin Kebangsaan.

Awang Mosli semasa menerima Anugerah SSEAYP Antarabangsa di Wilayah Siem Reap, Kemboja.
Awang Mosli semasa menerima Anugerah SSEAYP Antarabangsa di Wilayah Siem Reap, Kemboja.

Sepanjang memikul tugasnya sebagai Timbalan Presiden II (Kebangsaan), Awang Mosli sangat aktif memberikan komitmennya kepada masyarakat dan persatuan alumni.

Menurut kenyataan yang diterima, di sini, skim anugerah bertujuan untuk menggalakkan dan menghargai anggota alumni, individu dan persatuan tertentu atas sumbangan kepada masyarakat dalam masa yang sama menyokong anggota lain, bagaimana mereka boleh mendedikasikannya kepada masyarakat dan masa depan mereka.

Perhimpunan Agung SIGA yang berlangsung selama empat hari hingga 2 Mei itu memberi peluang besar kepada bekas-bekas belia yang menyertai Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Belia Jepun untuk bersatu semula dan menjelajah tanah kuil purba di Kemboja bersama keluarga angkat masing-masing.

Selain itu, ia juga dapat mempromosi persahabatan berterusan, persefahaman dan rasa muhibah dalam kalangan warga ASEAN dan Jepun, serta membantu pertukaran maklumat mengenai aktiviti dan persatuan alumni masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA