‘Awang Semaun’ gegar pawagam 25 Jun ini

‘Awang Semaun’ gegar pawagam 25 Jun ini

Oleh Lenna N.B

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Filem mengisahkan kegagahan pahlawan legenda tempatan, Awang Semaun, bakal menemui orang ramai di pawagam-pawagam seluruh negara pada 25 Jun depan dengan pelancarannya hari ini di Empire Cineplex, Jerudong.

Pelancaran filem legenda pertama Brunei dan juga filem sukarelawan belia yang pertama ditayangkan di pawagam, itu telah disempurnakan oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Terdahulu sebelum pelancaran berkenaan, sidang media turut diadakan bersama pengarah dan pelakon-pelakon utama, iaitu Awang Wadud selaku Awang Semaun, Awang Yusof sebagai Pateh Berbai, Abdul Aziz yang memainkan watak Awang Alak Betatar, Dayang Lily Adanan selaku Dayang Intan dan lain-lain.

Filem karya Awang Azmi Metassan itu memaparkan kegagahan Awang Semaun sebagaimana yang diceritakan mengikut pertuturan mulut ke mulut orang-orang tua mengenai kehebatan Awang Semaun di zaman Sultan Awang Alak Betatar.

Bermula sebagai video teaser yang dimuat naik ke dalam akaun YouTube pada hujung tahun 2013, SUPASTA Production akhirnya berjaya menyiapkan filem berkenaan yang mengambil masa lebih setahun penggambaran.

Awang Azmi (tengah) bersama pelakon-pelakon utama filem Awang Semaun.
Awang Azmi (tengah) bersama pelakon-pelakon utama filem Awang Semaun.
Datin Paduka Hajah Adina (tengah) hadir semasa acara pelancaran Awang Semaun.
Datin Paduka Hajah Adina (tengah) hadir semasa acara pelancaran Awang Semaun.
Awang Azmi ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran filem berkenaan, kelmarin
Awang Azmi ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran filem berkenaan, kelmarin
Kru dan pelakon yang menjayakan filem Awang Semaun bergambar ramai bersama Datin Hajah Adina.
Kru dan pelakon yang menjayakan filem Awang Semaun bergambar ramai bersama Datin Hajah Adina.

“Filem ini adalah sebuah filem sukarelawan yang pelakon-pelakonnya mempunyai komitmen masing-masing.

Justeru itulah, proses penggambaran mengambil masa yang agak lama. Alhamdulillah kini filem ini sedia untuk ditayangkan,” ujar Awang Azmi selaku pengarah dan juga penerbit filem.

Sementara itu, semasa menyampaikan ucapan di majlis pelancaran berkenaan, Awang Azmi menjelaskan motif pembikinan filem legenda ini ialah untuk mengangkat tokoh epik sastera Brunei seperti yang terdapat di dalam buku sastera serta ingin mengagungkan perwira sendiri yang pernah berjasa mempertahankan Brunei kira-kira lebih 650 tahun dahulu.

“Dengan adanya gambaran visual, ia dapat menarik para belia untuk mengenali sedikit sebanyak tentang tokoh epik perwira kitani iaitu Awang Semaun,” ujarnya.

Antara artis dan para jemputan yang hadir di Majlis Pelancaran filem Awang Semaun.
Antara artis dan para jemputan yang hadir di Majlis Pelancaran filem Awang Semaun.
Pengarah dan pelakon-pelakon utama filem Awang Semaun semasa sidang media sebelum majlis pelancaran.
Pengarah dan pelakon-pelakon utama filem Awang Semaun semasa sidang media sebelum majlis pelancaran.

Filem ini melibatkan kira-kira 200 tenaga kerja merangkumi barisan pelakon dan kru sebalik tabir, yang terdiri daripada belia-belia tempatan, yang secara sukarela terlibat dalam penggambaran.

Selepas majlis pelancaran, majlis turut menyaksikan tayangan video treler filem berkenaan, kemudian para jemputan yang terdiri daripada rakan artis, ahli-ahli keluarga serta pengamal media beredar ke pawagam menyaksikan filem Awang Semaun yang mengambil masa sejam empat puluh minit.

Perkembangan mengenai filem ini dapat diketahui melalui akaun Instagram Awang Semaun_the movie atau #Awangsemaun dan juga di akaun Facebook, Awang Semaun The Rise Of The Warrior.

ARTIKEL YANG SAMA