Awang Tengah saran Teluk Brunei dijadikan kawasan penangkapan ikan bersama

Awang Tengah saran Teluk Brunei dijadikan kawasan penangkapan ikan bersama

LIMBANG, 20 Mac (Bernama) – Kerajaan persekutuan digesa berunding dengan kerajaan Brunei Darussalam untuk menjadikan Teluk Brunei sebagai kawasan penangkapan ikan bersama bagi nelayan dari kedua-dua negara.

Teluk itu terletak dalam lingkungan kawasan yang dikongsi oleh Sarawak (Limbang dan Lawas) dan Sabah serta Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong di negara bersultan yang kaya dengan minyak itu.

Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini disebabkan nelayan tempatan jahil dengan sempadan sebenar kawasan penangkapan ikan.

“Oleh itu, kadang-kadang tidak sengaja menceroboh ke perairan Brunei,” katanya pada majlis tahunan ‘Pesta Badudun’ dan Lumba Kerbau SK Kampung Gadong, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merasmikan acara itu sebagai sebahagian daripada aturcara bersempena lawatan sehari beliau ke Bahagian Limbang.

Awang Tengah berkata, dengan menjadikan Teluk Brunei sebagai kawasan penangkapan ikan terbuka, nelayan tempatan dari kedua-dua negara boleh menangkap ikan di kawasan itu tanpa bimbang dengan tindakan pendakwaan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara.