Awang Tony juara Gross golf amal SOBD

Awang Tony juara Gross golf amal SOBD

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Pemain golf tempatan Awang Tony bin Haji Ibrahim muncul juara keseluruhan Gross setelah berjaya mengumpul 72 mata dalam Kejohanan Golf Amal Kedua Olimpik Khas 2015 di Kelab Golf Diraja Brunei (RBGCC) Jerudong, hari ini.

Tempat kedua dalam kategori sama dimenangi oleh Lai Suan Loong dengan mengumpul 76 mata manakala di tempat ketiga ialah Wan Man bin Wan Hil dengan mendapat 77 mata.

Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Haji Othman.

Kategori Terbaik Nett Keseluruhan pula dimenangi oleh Pengiran Haji Zulkeffli bin Pengiran Besar dengan 66 mata, manakala Kolonel (B) Dato Haji Harith di tempat kedua dengan 67 mata dan tempat ketiga ialah Haji Jalaluddin bin Ghazali dengan 68 mata.

Sebanyak 12 kategori perlawanan telah dipertandingkan iaitu Divisyen A Gross yang dimenangi oleh Haji Azaman bin Daud dengan 78 mata manakala Divisyen A Nett dimenangi oleh Mejar (B) Haji Mohd Suhaimi bin Haji Karim dengan 70 mata.

Awang Tony berjaya menjuarai Kategori Gross Keseluruhan.
Awang Tony berjaya menjuarai Kategori Gross Keseluruhan.
Adik Ahmad Zharfan menjuarai Kategori Junior Nett dan wakil golf SOBD ke Los Angeles.
Adik Ahmad Zharfan menjuarai Kategori Junior Nett dan wakil golf SOBD ke Los Angeles.

Divisyen B Gross dimenangi oleh Haji Sabri bin Naweh yang mengumpul 83 mata manakala Kategori Divisyen B Nett dimenangi oleh Awang Abdul Hamid bin Abas dengan mendapat 69 mata.

Kategori Divisyen C Gross dimenangi oleh Khairul Nizam dengan 89 mata manakala Divisyen C Nett dimenangi oleh Jaafar bin Hussin dengan 68 mata.

Dalam Kategori Junior Nett, pemenangnya ialah Adik Ahmad Zharfan bin Ahmadiah yang berjaya mengumpul 73 mata, sementara Kategori Wanita Gross dimenangi oleh Almas Syadzwanie dengan 82 mata, Kategori Wanita Nett dimenangi oleh Hajah rusni binti Haji Lamat dengan 73 mata dan Kategori Senior Nett dimenangi oleh Haji Patera bin Haji Madil dengan 67 mata.

Pengerusi Persatuan Olimpik Khas Negara Brunei Darussalam (SOBD), Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli bin Pengiran Haji Bunut dalam ucapan alu-aluannya berkata, kejohanan itu merupakan salah satu inisiatif mengumpul sebahagian dana untuk kontinjen SOBD yang akan menyertai Kejohanan Musim Panas Olimpik Khas 2015 yang akan diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat bermula 21 Julai hingga 2 Ogos 2015.

Negara Brunei Darussalam akan menghantar 11 atlet, lima jurulatih dan seorang ketua kontinjen yang akan mengambil bahagian dalam acara olahraga, bocce dan golf.

ARTIKEL YANG SAMA