Awas Mercedes!

Awas Mercedes!

LONDON, 29 Julai (Agensi) – Sebastian Vettel berkata Ferrari akan cuba merealisasikan apa yang dianggap sebagai mustahil iaitu menewaskan Mercedes, sekali gus menjulang gelaran Formula 1 musim ini.

Pemandu Jerman itu ketinggalan 42 mata di belakang pendahulu, Lewis Hamilton selepas kemenangan keduanya musim ini iaitu di Grand Prix Hungary.

“Masih banyak yang perlu kami lakukan, tetapi anda tidak tahu apa yang akan berlaku,” kata Vettel, yang masih realistik mengenai peluangnya memenangi kategori pelumba musim ini.

“Saya yakin akan akan cuba menyelesaikan semuanya dan menjadikan apa yang dianggap mustahil itu sebagai realiti,” katanya.

“Cara terbaik untuk melakukannya ialah dengan bertenang dan mencuba sebaik mungkin dan biarlah keadaan yang menentukannya.” Ferrari memulakan musim dengan baik apabila Vettel memenangi perlumbaan kedua di Malaysia dan rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen berada di tempat kedua sambil berjaya memecahkan dominasi Hamilton serta Nico Rosberg di Bahrain.

Sebastian Vettel (tengah) menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan selepas menjuarai GP Hungary Ahad lalu. - AFP
Sebastian Vettel (tengah) menerima ucapan tahniah daripada rakan sepasukan selepas menjuarai GP Hungary Ahad lalu. – AFP

Tetapi, sejak itu mereka mula tercicir mata terutama selepas badan induk FIA memutuskan peruntukan yang menghalang Ferrari mengembangkan teknologi enjin mereka.

Kemenangan Vettel kali ini hadir tiga minggu selepas persembahan mengecewakan Ferrari di Silverstone, di mana mereka diatasi pasukan Williams hinggalah hujan dan strategi berkesan yang diperkenalkan Vettel menjulangnya untuk menduduki tempat ketiga di belakang Hamilton dan Rosberg.

Pengarah Teknikal Ferrari James Allison berkata: “Kami tidak bersaing dengan baik dan ini adalah satu kebangkitan yang kami cari-cari selama ini.

“Kami akan berehat dua minggu dan kami boleh menggunakan kesempatan ini untuk memikirkan kembali apakah cara terbaik untuk terus cemerlang di masa depan. “Bukan mustahil untuk kami berada di tahap ini, tetapi kami tidak mencapai yang terbaik pada beberapa perlumbaan sebelum ini dan kami perlu mengatasi masalah itu.”

ARTIKEL YANG SAMA