Awas Neymar

Awas Neymar

BUENOS AIRES, 12 Nov (AFP) – Jurulatih Argentina, Gerardo Martino memberi amaran kepada pemainnya supaya berwaspada dengan prestasi ‘luar biasa’ bintang Brazil, Neymar ketika dua gergasi bola sepak dunia itu bertemu pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018, esok.

Bintang Barcelona, Neymar kembali menguatkan jentera serangan Brazil pada pertemuan di Buenos Aires itu selepas menghabiskan penggantungan empat perlawanan yang diperolehnya ketika Copa America di Chile, Jun lalu.

Penyerang berusia 23 tahun itu menyertai skuad Selecao dengan prestasi cukup memberangsangkan dan masih segar dengan jaringan individu menakjubkan ketika Barcelona membenam Villareal 3-0 di Nou Camp, minggu lalu.

Malah Martino turut mengakui yang Neymar kini semakin hampir untuk menyamai kualiti dimiliki dua pemain terbaik dunia, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

“Neymar sudah mencapai tahap kematangannya. Dia berada dalam prestasi menakjubkan, hampir di tahap dua pemain bola terbaik dunia,” kata Martino.

Neymar meninggalkan padang selepas menyertai sesi latihan di Pusat latihan Corinthians di Sao Paulo, kelmarin. – AFP
Neymar meninggalkan padang selepas menyertai sesi latihan di Pusat latihan Corinthians di Sao Paulo, kelmarin. – AFP

Kempen kelayakan Piala Dunia 2018 Argentina diganggu dengan masalah kecederaan yang jelas memeningkan Martino termasuk ketiadaan beberapa pemain utamanya, Messi, Sergio Aguero, Carlos Tevez dan Pablo Zabaleta.

Begitupun, pengendali itu percaya Argentina masih mempunyai bakat yang cukup untuk beradu tenaga dengan Brazil malah menolak mereka bukan pasukan pilihan.

“Sentiasa satu kelegaan buat lawan kamu apabila kamu kehilangan beberapa pemain. Adakah ia menjadikan Brazil pilihan? Saya tidak berfikir seperti itu,” kata Martino.

“Ia adalah klasik, dan kedua-dua pasukan mempunyai pemain yang penting. Mereka setanding dari sudut kualiti.”

Dalam pada itu, Martino turut menolak soalan mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan Argentina ketika spekulasi hangat mengatakan kedudukannya ketika ini berada dalam bahaya.

“Ia meletihkan dan membuang masa (untuk berkata mengenai perkara ini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA