Awas pola cuaca El Nino

Awas pola cuaca El Nino

KLANG, 13 Mac (Bernama) – Bagi mengelak mengalami komplikasi kesihatan akibat dehidrasi berpunca daripada gelombang haba yang wujud sekarang, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti lasak di luar rumah dan meminum banyak air.

Beliau berkata langkah itu perlu diambil walaupun setakat ini, belum ada pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana penyakit berkaitan haba. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Sentosa di sini Ahad.

Berikutan pola cuaca El Nino bulan ini, Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih panas daripada biasa dan jumlah hujan yang kurang.

Sementara itu, Dr. Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi membuat keputusan tentang isu pengusaha kantin menyediakan makanan di rumah.

Ini berikutan kejadian tujuh pelajar termakan mi goreng mengandungi serpihan kaca di Hulu Selangor baru-baru ini.

Pelajar dari SJKT Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selepas makan makanan itu di kantin sekolah berkenaan, yang dilaporkan dimasak pengusaha kantin di rumahnya.

Dr. Subramaniam berkata kementerian sedang menimbang dua pilihan, sama ada mengenakan syarat lebih ketat mengenai kaedah penyediaan makanan di rumah sebelum membawanya ke sekolah, atau hanya membenarkan pengusaha kantin menyediakan makanan di kantin dengan dipantau rapi pihak sekolah.

Mengenai majlis pecah tanah itu, Dr. Subramaniam yang juga Presiden MIC, berkata SJKT Taman Sentosa akan merupakan sekolah Tamil ke-525 yang dibina di negara ini untuk manfaat kira-kira 5,000 keluarga India di kawasan sekitarnya.

Katanya sekolah berharga RM23 juta dengan 24 bilik darjah itu, dibina di kawasan seluas 1.7 hektar dan dijangka siap menjelang pertengahan tahun depan. Sekolah ini mampu menampung 960 murid.

Dr. Subramaniam mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sokongan beliau terhadap sekolah Tamil di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA