Awasi cubaan culik pelajar

Awasi cubaan culik pelajar

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Para ibu bapa dan guru-guru diminta menasihatkan anak-anak dan penuntut mereka supaya berhati-hati ketika hendak ke sekolah ekoran kehadiran seorang lelaki mencurigakan yang cuba memaksa pelajar memasuki keretanya dalam empat kejadian berasingan baru-baru ini.

Kejadian terbaru berlaku pada pagi kelmarin (29 Jun) di mana seorang pelajar perempuan Sekolah St. Andrews, di sini telah dipaksa oleh seorang lelaki yang cuba membawanya masuk ke dalam kereta.

Bagaimanapun, pelajar berusia 11 tahun itu telah menjauhi lelaki tersebut serta melaporkan kejadian tersebut kepada gurunya, yang kemudian bertindak mengejar lelaki terbabit, tetapi dia (lelaki mencurigakan) sudah melarikan diri.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abd Rahman berkata, guru sekolah berkenaan telah membuat laporan ke Balai Polis Pusat mengenai kejadian itu.

Guru tersebut dalam laporannya memberitahu bahawa, lelaki terbabit telah menyentuh di bahagian dada pelajar perempuan itu dan seorang pelajar perempuan lain yang juga cuba dibawa oleh lelaki tersebut, tetapi pelajar perempuan itu telah berjaya melepaskan dirinya daripada pegangan lelaki itu.

“Siasatan awal telah dibuat dan menurut guru berkenaan, lelaki tersebut telah menggunakan sebuah kereta berwarna putih dan nombor pendaftaran kereta tersebut sempat dicam oleh pengadu. Suspek dipercayai mempunyai ketinggian 5 kaki 5 inci, berkulit sawo matang dan memakai baju T berwarna hitam dan seluar pendek berwarna coklat,” kata ASP Haji Mohamad Noor dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu di Daerah Belait beberapa kejadian juga dilaporkan di kawasan jagaan Balai Polis Seria pada tarikh-tarikh yang berasingan.

Pada 10 Jun 2015 kira-kira jam 7.20 petang, polis menerima aduan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, mengatakan seorang lelaki yang memandu kereta jenis SUV berwarna putih menyuruhnya masuk ke dalam kereta tetapi dia sempat melarikan diri. Kejadian berlaku di kawasan Simpang 496, Panaga.

Kejadian kedua pula berlaku pada 12 Jun 2015 kira-kira jam 4.15 petang di kawasan F4/ F19 Panaga, yang dipercayai suspek yang sama menggunakan kereta jenis SUV berwarna putih dengan perbuatan yang sama ke atas mangsa lain. Mujurlah mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun sempat melarikan diri.

Manakala kejadian ketiga telah dilaporkan pada 16 Jun 2015 kira-kira jam 11.30 pagi mengenai seorang suspek dengan tatu di tangannya, yang memasuki kawasan permainan Sekolah Rendah Panaga dan bertanyakan kepada murid-murid sekolah yang bermain untuk membawakan suspek itu ke pondok pengawal keselamatan.

Tetapi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu telah melarikan diri dan melaporkan kepada guru mereka.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama kepada orang ramai untuk membantu mengesan lelaki itu dan mengingatkan kepada ibu bapa serta guru-guru sekolah untuk mengingatkan kepada anak-anak dan penuntut-penuntut mereka supaya akan berhati-hati semasa hendak pergi sekolah dan melaporkan segera kepada pihak polis jika ada terlihat orang yang mencurigakan di luar sekolah dan kawasan mereka.

Dalam perkembangan yang sama, Sekolah St. Andrews mengeluarkan surat peringatan keselamatan kepada ibu bapa dan penjaga pelajar berhubung apa yang disifatkan sebagai cubaan menculik yang berlaku dalam kawasan sekolah berkenaan kelmarin.

Pengetua sekolah berkenaan, Jane Keasberry berkata, insiden tersebut sangat membimbangkan dan ekoran itu pihak sekolah telah mengambil langkah-langkah pencegahan demi keselamatan pelajar, antaranya ialah mengingatkan pelajar-pelajar supaya berwaspada jika ternampak orang-orang mencurigakan di kawasan sekolah serta melaporkannya segera kepada pihak sekolah.

Pelajar-pelajar juga diingatkan jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali; jangan pergi ke bilik air secara bersendirian terutama selepas waktu sekolah; dan menunggu ibu bapa atau penjaga atau pemandu untuk mengambil mereka di kantin atau berhampiran pintu utama sekolah dan bukannya di luar kawasan sekolah.

Sebagai langkah tambahan, pihak sekolah memutuskan untuk menutup pintu pagar belakang sekolah mulai Isnin, 6 Julai sehingga ke satu tarikh kelak. Ia hanya akan dibuka pada sebelah pagi dari jam 6.30 hingga 7.30 pagi sahaja dengan diawasi oleh pengawal keselamatan bertugas.

Selain itu, pintu pagar ke kawasan sekolah rendah dan tadika juga akan ditutup mulai jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi dan dari jam 1.30 tengah hari hingga ke 5.00 petang.

ARTIKEL YANG SAMA