Axiata ambil alih perkhidmatan mudah alih Ncell di Nepal

Axiata ambil alih perkhidmatan mudah alih Ncell di Nepal

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) – Axiata Group Bhd memperluas jejaknya di rantau Asia dengan memasuki pasaran Nepal menerusi pengambialihan operator perkhidmatan mudah alih nombor satu negara itu, Ncell Private Ltd.

Axiata bercadang mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam Reynolds Holdings Ltd daripada TeliaSonera UTA Holdings B.V. dan SEA Telecom Investments B.V. dengan nilai AS$1.37 bilion atau RM5.88 billion.

“(Pengambilalihan Reynolds) membolehkan Axiata menguasai 80 peratus ekuiti dan pegangan kawalan Ncell,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Axiata berkata pembelian itu seiring dengan strategi pengembangan syarikat serta memenuhi kriteria penggabungan dan pengambilalihan seperti pengawalan pengurusan, pasaran pertumbuhan dan nilai yang menarik. Nepal juga merupakan pasaran yang teguh dan sedang berkembang manakala Ncell pula satu nilai yang menarik selaku peserta nombor satu negara itu, katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim menyifatkannya sebagai pengambilalihan aset oportunis yang jarang untuk diperoleh. “Kemasukan Ncell dalam tahun kewangan Axiata 2104 pro forma, akan menyumbang secara positif kepada Kumpulan, menyumbang sekitar sembilan peratus kepada pendapatan dan 19 peratus kepada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti serta menjadikannya antara penyumbang pendapatan tertinggi Kumpulan.

“Ini juga meningkatkan daya tahan Axiata menerusi portfolio yang lebih pelbagai memandangkan Ncell akan menjadi bahagian yang agak besar dalam Kumpulan serta mengurangkan penggantungan kami kepada dua syarikat operasi terbesar,” katanya.

Jamaludin berkata keupayaan penjanaan aliran tunai yang kukuh Ncell akan menyediakan sokongan lanjut kepada polisi dividen Kumpulan. Cadangan pengambilalihan Ncell tertakluk antara lain kepada kelulusan pemegang saham dan Bank Negara.

ARTIKEL YANG SAMA