Axiata umum tiga lantikan baharu

Axiata umum tiga lantikan baharu

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) – Axiata Group Bhd hari ini mengumumkan tiga lantikan baharu bagi mengukuhkan kumpulan pengurusan, mempertingkat pembangunan bakat serta modal insan yang seiring dengan langkah pengembangan serantaunya.

Mereka adalah Hans Wijayasuriya, Dominic P. Arena dan Mohd Asri Hassan yang dijangka memberi nilai kepada para pemegang saham selain menjayakan peralihan kumpulan itu kepada satu syarikat telekomunikasi generasi baharu, kata Axiata dalam satu kenyataan hari ini.

Wijayasuriya yang kini bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dialog Group di Sri Lanka, akan menyandang jawatan tambahan sebagai CEO Serantau Axiata bagi memantapkan lagi kedudukannya di Asia Selatan.

AxiataDialog Group adalah peneraju pasaran bagi dua segmen utama iaitu sektor televisyen berbayar Sri Lanka dan perkhidmatan telekomunikasi tetap negara itu.

Arena yang sebelum menjadi Pengarah Urusan AEC Advisory, dilantik sebagai Ketua Pegawai Strategi Kumpulan.

“AEC Advisory adalah firma serantau berpejabat di Singapura yang terbabit dalam perkhidmatan nasihat strategik dan korporat bagi barisan pelanggan telekomunikasi, media dan institusi kewangan dalam strategi penyertaan pasaran, penggabungan dan pengambilalihan serta pembangunan dasar kawal selia,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA