Ayah curi mainan, dipenjara 6 bulan

Ayah curi mainan, dipenjara 6 bulan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150818_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Seorang bapa yang sanggup mencuri mainan untuk diberikan kepada anaknya sebagai hadiah, dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Rafi Ezamdie bin Muhammad Daud, 24, yang berdepan dua pertuduhan mencuri dan cubaan mencuri.

Untuk tuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri satu mainan helikopter X3 Quadcopter berharga $89.95 pada 10 Ogos 2015 kira-kira jam 7 malam di Toys R Us, Kompleks Mabohai.

Tertuduh untuk pertuduhan kedua didakwa cuba mencuri mainan Hex Bug berharga $69.95 pada 12 Ogos 2015 sekitar jam 2 petang, juga di Toys R Us, Kompleks Mabohai.

Fakta kes menyebut, tertuduh yang tidak bekerja telah mencuri satu mainan helikopter X3 Quadcopter di rak mainan Toys R Us dan menyimpannya di dalam pakaiannya, dan berjaya keluar tanpa disedari oleh kakitangan kedai mainan tersebut.

Selepas dua hari, tertuduh sekali lagi pergi ke Toys R Us dan mencuri mainan Hex Bug dari rak mainan namun belum sempat melangkah keluar, tertuduh ditahan oleh kakitangan kedai mainan tersebut yang telahpun memerhatikan perbuatannya.

Tertuduh ketika disoal siasat mengaku mencuri kedua-dua alat permainan berkenaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Adri bin Ahmad Zakaria.