Ayah rogol anak bawah umur, dilaporkan

Ayah rogol anak bawah umur, dilaporkan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) mencatatkan sebanyak tiga kes membabitkan jenayah sumbang mahram sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Antara jenayah yang pernah dilaporkan ialah ayah kandung yang juga merupakan seorang kakitangan kerajaan merogol anak perempuannya sendiri berulang kali, ayah kandung yang merogol anak perempuannya selama lebih tiga tahun sejak anaknya itu berumur 12 tahun.

JAPEM juga mencatatkan peningkatan dalam permohonan kes membabitkan jenayah rumah tangga (Dharar Syarie) sepanjang lima bulan pertama 2015 iaitu sebanyak 19 kes, berbanding 15 kes dicatatkan pada 2012, 14 kes dicatatkan pada 2013 dan 16 kes dicatatkan pada 2014.

Perangkaan itu didedahkan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat, Dayang Nazurah bin Jaya dan rakannya Ronnie bin Labau ketika menyampaikan ceramah bertajuk Sumbang Mahram, Penderaan Keluarga dan Pengabaian Warga Emas pada Seminar Keluarga dan Khidmat Kaunseling anjuran akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Akademi Pengajian Brunei, Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah.

Dayang Nazurah menyampaikan ceramah mengenai sumbang mahram.
Dayang Nazurah menyampaikan ceramah mengenai sumbang mahram.

Hadir sama ialah para pensyarah Akademi Pengajian Brunei lain termasuk Profesor Datuk Dr Osman bin Yatim, Awang Shahrol Amira bin Abdullah dan Haji Rafee bin Haji Shahif.

Ketika membincangkan isu sumbang mahram Dayang Nazurah berkata, pihaknya mempercayai jumlah kes itu yang dilaporkan tidak menunjukkan angka sebenar kejadian yang berlaku kerana ada kes sumbang mahram yang berlaku tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa atas sebab tertentu.

Antaranya ialah mangsa berasa takut aduan yang dibuat mungkin tidak akan dipercayai atau mangsa tidak mahu bapa atau anggota keluarga yang terlibat dipenjarakan, selain takut akan hilang tempat bergantung.

Selain itu, mangsa mungkin berasa malu dan menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku ke atas dirinya.

Beliau juga menegaskan terdapat beberapa kes yang mana mangsa didesak oleh pelaku untuk merahsiakan perbuatannya, atau mangsa tidak tahu untuk mengadu atau memberitahu kepada siapa dan bagaimana untuk membuat aduan kepada pihak yang berkuasa.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mengesyaki berlakunya perbuatan sumbang mahram atau eksploitasi seks supaya melaporkannya kepada orang yang dipercayai, pihak sekolah, pihak polis atau terus mengadu ke Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Sementara itu, ketika membincangkan mengenai keganasan rumah tangga, Dayang Nazurah menegaskan antara dilema yang dihadapi oleh masyarakat pada masa ini adalah mangsa kerap enggan melaporkan kepada pihak-pihak berkuasa dan enggan melarikan diri daripada pasangan yang mendera.

Antara punca keengganan itu ialah kerana takut tindakannya akan memburukkan lagi keadaan, takut dibunuh jika pasangannya mendapat tahu, merasakan tiada tempat untuk berlindung, akan menghadapi masalah kewangan kerana bergantung sepenuhnya kepada pelaku dan telah terbiasa dengan keadaan disebabkan kisah silam yang ganas.

Menurutnya, terdapat dua peruntukan undang-undang yang melindungi mangsa penderaan atau keganasan rumah tangga, iaitu Perintah Undang-undang Keluarga Islam (Pindaan) 2010 dan Perintah Akta Perempuan Bersuami (Pindaan) 2010 yang telah mula berkuat kuasa pada 26 Jun 2010.

Ujarnya, JAPEM berfungsi sebagai salah sebuah agensi penguatkuasaan yang akan membuat pendekatan lanjut bagi mana-mana laporan yang diterima daripada orang ramai.

Sehubungan itu, jika terdapat sebarang bukti yang boleh menyokong aduan yang dibuat, kes tersebut akan ditangani berdasarkan peruntukan kedua-dua akta tersebut.

Tindakan yang boleh diambil ialah seperti mendapatkan perintah menghalang pelaku daripada melakukan sebarang bentuk keganasan rumah tangga atau untuk kedua-dua pihak (pelaku dan mangsa) menghadiri sesi kaunseling.

ARTIKEL YANG SAMA