Ayah tergamak tikam mati anak tidak mahu belajar

Ayah tergamak tikam mati anak tidak mahu belajar

TOKYO, 23 Ogos – Seorang ayah di Jepun telah menikam anak lelakinya berusia 12 tahun hingga mati selepas mengadu budak lelaki itu gagal untuk belajar bagi peperiksaan kemasukan sebuah sekolah, menurut media hari ini.

Kengo Satake, 48, ayah kepada budak lelaki berkenaan, memberitahu polis bahawa dia ‘bertekak dengan anak lelaki kerana tidak belajar’ sebelum ujian untuk memasuki sekolah tinggi junior swasta, lapor penyiaran awam NHK.

Persaingan untuk memasuki sekolah terbaik di Jepun adalah terlalu sengit. Kemasukan ke sebuah sekolah berprestij dilihat mempunyai impak besar ke atas prospek masa depan kanak-kanak itu sendiri.

Budak lelaki itu, bernama Ryota, telah dibawa ke hospital pada Ahad selepas ditikam namun meninggal dunia akibat kehilangan banyak darah, kata polis wilayah Aichi di bandar tengah Nagoya memberitahu AFP.

“Ayahnya menikam anak lelakinya itu di dada menggunakan pisau dapur,” kata jurucakap polis, enggan untuk memberi butiran mengenai motifnya.

Ayahnya telah ditangkap selepas polis mendapat panggilan daripada kakitangan hospital, katanya.

Satake dilaporkan memberitahu polis dia telah menikam anak lelaki ‘tanpa sengaja’.

Budak lelaki itu dihasratkan untuk memasuki salah sebuah sekolah swasta terkemuka di wilayah Aichi dan ayahnya kerap memarahinya berhubung pelajarannya, kata NHK, memetik orang yang tahu tentang keluarga berkenaan.

Ibu budak lelaki itu sedang bekerja semasa insiden itu berlaku, lapor akhbar harian Asahi Shimbun. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA