Ayam Brand sumbang 21,600 hidangan sihat

Ayam Brand sumbang 21,600 hidangan sihat

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Ayam Brand cawangan Brunei hari ini menyumbangkan sebanyak 21,600 hidangan sihat kepada tiga buah badan kebajikan yang bertujuan untuk memberi nilai nutrisi serta menggalakkan kreativiti dan sikap berdikari dalam generasi muda.

Tiga badan kebajikan tersebut ialah Learning Ladders Society Centre, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam dan SMARTER Brunei. Sumbangan tersebut disampaikan oleh wakil Ayam Brand cawangan Brunei, Stanley Wang dalam satu majlis yang diadakan di sebuah restoran di Berakas.

SMARTER diwakili Ketua Pegawai Eksekutif SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman; Pusat Ehsan diwakili oleh Dayang Nurul Huda binti Haji Muhin dan Learning Ladders Society diwakili oleh Dayang Nur Khairunnisa binti Maidin.

Menurut kenyataan syarikat berkenaan, kempen selama dua bulan itu akan memberi manfaat kepada 120 orang kanak-kanak dan orang dewasa dari badan-badan kebajikan terbabit.

Salah seorang kanak-kanak diberi tunjuk ajar tentang tatacara penyediaan makanan yang bersih.
Salah seorang kanak-kanak diberi tunjuk ajar tentang tatacara penyediaan makanan yang bersih.

Kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam kempen tahun ini diberi ‘Bento’, satu hidangan untuk sekali makan yang dibawa dari rumah. ‘Bento’ yang lazim dalam budaya Jepun terdiri daripada nasi, ikan, daging, jeruk atau sayur yang telah dimasak, bersama buah-buahan atau pencuci mulut manis yang lain.

Makanan ini biasanya dibungkus cantik di dalam bekas berbentuk empat segi dan seimbang dari segi nutrisinya. Orang Jepun menghabiskan masa dan tenaga dalam menyediakan kotak bento untuk pasangan mereka, anak-anak atau diri sendiri.

Menurut Stanley Wang, pihaknya mengambil keputusan untuk memperkenalkan kempen kebajikan di Brunei sebagai satu cara menyumbang kembali kepada komuniti di sini yang sudah lama menyokong jenama berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA