Ayam kampung beri hasil lumayan

Ayam kampung beri hasil lumayan

KEMAMAN, 3 Feb – Menyedari permintaan terhadap ayam kampung yang semakin meningkat dalam pasaran, syarikat perladangan kelapa sawit tempatan, Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd mengambil inisiatif menternak ayam kampung hibrid di kawasan ladangnya sejak tahun lepas.

Ketua Eksekutifnya, Mohd Damanhuri Mohd Jamli berkata, selain faktor permintaan yang tinggi, ayam kampung hibrid juga hanya mengambil masa 90 hari untuk mencapai tempoh matang berbanding lembu daging serta kambing dan harganya kini boleh mencecah sehingga RM18 sekilogram.

Sebelum menternak ayam tersebut, syarikat itu terlebih dahulu menternak lembu daging di ladangnya yang terletak di Bandar Cheneh Baharu, dekat sini, sebagai menyahut seruan kerajaan yang mahukan bekalan daging lembu tempatan lebih banyak di pasaran berbanding daging lembu import.

“Selepas melihat ada kandang kosong yang dahulunya digunakan untuk menempatkan ternakan kambing, saya terfikir mengapa tidak ia digunakan untuk ternakan yang lebih mendatangkan keuntungan dalam masa yang singkat.

“Kemudian saya mendapat tahu bahawa sekarang ini semakin ramai rakyat negara ini yang kembali menggemari ayam kampung sebagai santapan harian, jadi kita cuba dengan ternakan tersebut pada Mac tahun lepas,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata, syarikat tersebut mengambil anak ayam kampung hibrid daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk diternak di ladang itu.

Menurutnya, sambutan terhadap ayam kampung mereka sangat memberangsangkan sehingga tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan daripada pelbagai pihak.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang melawat ladang tersebut baru-baru ini berkata konsep menternak pelbagai jenis ternakan dalam ladang kelapa sawit perlu diperluaskan ke seluruh negara.

Katanya, ia mampu memberi pendapatan sampingan lumayan kepada para peladang selain meraih hasil daripada kelapa sawit.

“Pihak kementerian akan menjalinkan kerjasama dengan Mardi dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tujuan memperluaskan ternakan berkenaan manakala Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pula akan menjadi agensi bagi tujuan promosi dan pemasaran,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA