Ayda Jebat pertaruhkan lagu balada

KUALA LUMPUR – Puas mendaki carta dengan empat single bergenre rancak, buat pertama kalinya, Ayda Jebat bakal mempertaruhkan lagu solo berentak balada.

Ayda berkata, single berjudul Bagai Pelangi itu bakal menemui peminat, tidak lama lagi. Lebih istimewa, dendangan itu adalah ciptaan bersama dirinya, Norzaidi Abdul Rahman dan Rafik Khairudin.

“Penonton filem lakonan saya, Pinjamkan Hatiku mesti tahu sebuah lagu yang saya nyanyikan dengan iringan gitar. Lagu itu digubah semula dengan mood dan emosi yang lebih segar.

“Lagu itu adalah luahan hati saya untuk semua peminat dan insan yang tidak pernah ada istilah jemu menyokong kerjaya seni saya sebagai penyanyi dan pelakon,” katanya.

Sebelum ini, Ayda popular dengan empat lagu rancak iaitu Siapa Diriku, Pencuri Hati, Nakal Nakal Nakal dan Mata.

Ayda Jebat bakal tampil dengan single balada berjudul Bagai Pelangi.

Artis yang mula dikenali menerusi drama Sesal Separuh Nyawa dan Rindu Awak 200 Peratus ini pernah muncul dengan single balada secara duet menerusi lagu Pinjamkan Hatiku bersama Adi Priyo.

Ayda atau nama penuhnya, Nur Suhada Jebat menaruh harapan single baladanya itu dapat diterima peminat.

Sementara itu, selepas drama Dekatkan Jarak Kita lakonannya bersama Syafiq Kyle yang mendapat sambutan hangat, Ayda bakal muncul dalam sebuah drama, tidak lama lagi.

Ayda berkata, dia akan berganding dengan Sharnaaz Ahmad dalam drama bersiri yang akan disiarkan di slot Akasia terbitan TV3.

“Tajuknya belum diputuskan. Saya akan memulakan penggambaran tidak lama lagi. Ia dijadual ditayangkan selepas Aidilfitri kelak,” katanya.