Ayuh berganding bahu

Ayuh berganding bahu

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Dalam usaha menangani isu pengangguran, semua pihak perlu sama-sama berganding bahu dan bersepakat melaksanakan pendekatan a whole of nation approach bukan terhenti pada pendekatan a whole of government approach.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perkara tersebut pada Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam (UBD) ke-27, di sini, pagi ini.

Baginda Sultan, yang juga Canselor UBD, seterusnya bertitah menekankan perlunya institusi-institusi pengajian tinggi untuk menjadi lebih inovatif dan kreatif dalam mencari sumber alternatif kewangannya, seperti membuat kolaborasi dengan pihak industri, supaya pembiayaan sesuatu aktiviti itu dapat dikongsi sama serta keputusannya juga mampu untuk membuahkan hasil bagi semua.

“Beta mengambil maklum, dalam majlis konvokesyen pada tahun ini, seramai 20 orang graduan akan menerima ijazah Kedoktoran, satu jumlah yang paling besar berbanding tahun-tahun yang lepas.

Baginda Sultan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen UBD ke-27, kelmarin.
Baginda Sultan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen UBD ke-27, kelmarin.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan ijazah sarjana muda kepada wartawan Borneo Bulletin, Siti Hajar binti Mohd Mahathir.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan ijazah sarjana muda kepada wartawan Borneo Bulletin, Siti Hajar binti Mohd Mahathir.

“Beta berharap UBD akan terus menjadi destinasi pilihan yang mampu untuk menarik minat pelajar-pelajar cemerlang bagi meningkatkan lagi pembelajaran dan penyelidikan mereka di UBD.

“Selain dari itu, Beta juga difahamkan bahawa pada tahun ini adalah konvokesyen yang julung kali bagi program flagship Sarjana Dasar Awam dan Pengurusan (Master of Public Policy and Management) yang mengumpulkan 15 orang graduan dari dalam dan luar negara, termasuk penerima biasiswa kerajaan Beta dari East Asia Summit Participating Countries.

“Di samping itu, Beta juga difahamkan terdapat pelajar bagi program ini, yang berjaya menjadi pelajar paling cemerlang (top students) semasa berada di penempatan selama satu semester di universiti-universiti terkemuka di Amerika Syarikat yang menjadi satu komponen program ini. Ini adalah satu pengiktirafan terhadap kualiti system pendidikan di UBD.

“Perkembangan ini sudah setentunya mampu untuk menaikkan lagi imej dan visibility UBD,” titah Baginda.

Menyentuh tentang visibility universiti, Baginda bersyukur melihat UBD telah banyak membangun dan mempertingkatkan usaha untuk mencapai aspirasi yang dihajati selari dengan usianya yang hampir mencecah 30 tahun.

Ini, titah Baginda, termasuk pencapaian UBD sebagai universiti paling cepat meningkat dalam QS Asia University’s Ranking pada tahun ini.

Baginda bertitah mengingatkan, di sebalik pencapaian itu bahawa banyak lagi aspek yang penting yang juga perlu diambil kira untuk menyukat sesuatu kejayaan seperti kebolehpasaran atau marketability para graduan serta hasil-hasil penyelidikan yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah, mengenai marketability diperingkat global pula, ianya dapat dilihat sebagai memberi gambaran bahawa pertambahan di kalangan para graduan boleh menyebabkan kadar pengangguran semakin meningkat, kerana dengan pertambahan tersebut, peluang pekerjaan atau pasaran kerja dengan sendirinya semakin kompetitif.

“Namun faktor inovasi yang terdapat pada kurikulum GenNext kita dan inisiatif penerapan nilai keusahawanan terhadap pelajar, memberi harapan besar untuk lahirnya generasi proaktif, yang berdaya tahan serta tidak semata-mata bergantung kepada kerajaan,” titah baginda.

Menyentuh mengenai perkhidmatan yang berkualiti tinggi, Baginda Sultan bertitah, Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik yang ada, sepatutnya dijadikan pendorong yang kuat untuk para ahli akademik kita meningkatkan lagi mutu pengajaran dan penyelidikan mereka.

“Khasnya ahli-ahli akademik tempatan kita, rebutlah peluang membina diri dengan memperkasa kebolehan dan kepakaran, mengasah bakat dan menampilkan diri demi ilmu, bukan dengan menyorok di bilik-bilik kuliah sahaja. Adapun masyarakat dan negara sentiasa menunggu mereka, dan ingin untuk mendengar dan membaca dari mereka.”

Baginda mengakhiri titah dengan mengucapkan tahniah kepada para graduan yang berjaya serta menasihatkan mereka supaya sentiasa mempertahankan jati diri, warisan, integriti serta mengekalkan identiti keBruneian yang berpaksikan Melayu Islam Beraja.

Titah Baginda; “Kemajuan dan perkembangan negara hendaklah disertai dengan kerohanian yang teguh. Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah jua yang diharapkan untuk mengurniakan ganjaranNya kepada mereka berupa rahmat dan pahala.”

ARTIKEL YANG SAMA