Azam beri perkhidmatan awam bertaraf dunia

Azam beri perkhidmatan awam bertaraf dunia

PUTRAJAYA, 16 Ogos – Sarawak, negeri pertama di negara ini yang mengambil inisiatif serta komitmen melaksanakan transformasi perkhidmatan sektor awamnya, yakin mampu memberi perkhidmatan berkelas dunia menjelang 2020.

Timbalan Setiausaha Negeri (Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Sarawak Dr Sabariah Putit berkata Pelan Tindakan Perkhidmatan Awam Negeri 2010-2020 itu, yang kini masuk tahun keenam, berada pada landasan tepat untuk melonjakkan proses transformasi perkhidmatan awamnya.

Lapan bidang utama yang menjadi tumpuan adalah pengurusan perubahan budaya, pengurusan bakat sumber manusia, inovasi dan kreativiti, mengurus keperluan pelanggan, e-Kerajaan, kecemerlangan pelaksanaan projek dan program, transformasi pengurusan kewangan dan kecemerlangan pentadbiran perkhidmatan perundangan Sarawak (SEALS).

“Sekarang ini kita berada pada pusingan akhir yang mana empat tahun terakhir ini merupakan tahun yang amat penting. Sekarang ini pun ramai orang mendapat motivasi untuk bekerjasama dengan kami kerana tertarik dengan budaya yang kita cuba terapkan…maknanya dah nampak perubahan positif.

“Kita mahu lapan bidang kritikal yang ditransformasikan ini merubah wajah dan imej perkhidmatan awam Sarawak menjadi lebih responsif, aktif dan memenuhi tuntutan serta aspirasi rakyat, seiring visi menjadi perkhidmatan awam bertaraf dunia menjelang 2020,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas pembentangan projek inovasi berkenaan yang turut tersenarai antara finalis pertandingan Anugerah Inovasi Antarabangsa Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2016 untuk kategori ‘Inovasi Dalam Pengurusan Perkhidmatan Awam’, di Pusat Konvensyen An-tarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Persidangan dwitahunan CAPAM bertemakan ‘Inovasi: Kepentingan Dalam Pentadbiran Awam’ itu dijadual berlangsung pada 18 hingga 20 Ogos ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA