Azam tingkatkan hubungan dua hala

Azam tingkatkan hubungan dua hala

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada 1984, hubungan dua hala di antara Republik Filipina dan Negara Brunei Darussalam semakin berkembang maju terutamanya daripada segi kerjasama politik dan perkembangan ekonomi.

Menurut Duta Besar Republik Filipina ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Meynardo L.Montealgre (gambar), dari tahun ke tahun, penduduk Filipina di negara ini semakin meningkat sehingga mencecah 23,000 orang dan rata-rata mereka merasa selesa dan gembira untuk menetap serta bekerja di negara ini.

Beliau merupakan duta kesembilan di Brunei dan baru sahaja menerima pelantikannya berkata bahawa ia adalah sangat penting untuk menjalin perjanjian hubungan dua hala antara Brunei dan Filipina bagi melindungi kebajikan para penduduk Filipina di negara ini.

Bercakap dalam temu bual bersama Media Permata hari ini, Tuan Yang Terutama Meynardo L.Montealgre yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Republik Filipina ke Greece berkata, hubungan dua hala ini telah dikekalkan dengan baik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama Presiden Filipina dan juga menteri-menteri serta pegawai-pegawai kanan di kedua-dua buah negara.

Sehubungan itu, beliau berharap akan dapat menubuhkan perjanjian perundingan dua hala bersama negara Filipina dan Brunei pada suku akhir tahun ini.

pg13_150612_a

“Sebagai seorang duta yang baru saya akan sentiasa bersedia dan bekerja dengan tekun untuk memenuhi keperluan dan membantu para penduduk Filipina di negara ini di samping mengeratkan lagi hubungan saya bersama mereka.”

Menyentuh mengenai aspek ekonomi, beliau berharap untuk menyumbang kepada industri makanan halal di negara ini kerana negara Filipina merupakan antara negara ketiga yang diiktiraf dan didaftar oleh Kerjasama Organisasi Islam (OIC) sebagai negara-negara yang disahkan halal.

“Kami juga mempunyai sebuah taman perindustrian di Zamboanga City yang boleh menampung pelabur dari Brunei yang ingin menubuhkan perniagaan mereka sendiri di sana,” jelas Tuan Yang Terutama lagi.

Filipina akan meraikan sambutan Hari Kemerdekaannya yang ke-117 tahun esok (12 Jun) dan antara acara yang diadakan pada hari tersebut ialah majlis menaikkan bendera negara Filipina di perkarangan kedutaan Filipina pada jam 6.30 pagi dengan dihadiri oleh wakil-wakil komuniti Filipina yang ada di negara ini.

Di samping itu juga, majlis makan malam resepsi diplomatik akan diadakan pada 15 Jun 2015, jam 7.30 malam di Hotel Rizqun Antarabangsa, Gadong.