Azan, laungan sepanjang zaman

PASTINYA azan bukan hanya santapan halwa telinga sahaja. Hakikatnya lebih dari itu. Di sebalik azan, tersirat ribuan makna yang memberi manfaat sepanjang putaran alam ini.

Baik manfaat itu dilahirkan menerusi kata-kata Rasulullah S.A.W, mahupun penemuan saintifik semasa yang membuktikan kehebatannya. Pendek kata, mukjizat azan tidak pernah ‘basi’ ditelan masa.

Cuba amati lagu-lagu ciptaan manusia, kebiasaannya hanya diulang-ulang beberapa waktu sahaja. Lambat-laun akan jemu juga. Berbeza dengan azan. Ia telah berkemundang lebih 140 dekad. Luar biasa bukan? Bahkan laungannya tidak pernah berhenti, walaupun sehari!

Laungan azimat sampai kiamat

Azan tidak pernah berhenti dilaungkan walaupun sehari sejak ia disyariatkan 1,400 tahun yang lalu.

Terdapat satu penemuan terbaru yang berjaya membuktikan bahawa muka bumi ini tidak pernah sunyi daripada lantunan laungan azan. Kajian terhadap zon waktu dunia dibandingkan waktu solat setiap zon negara menunjukkan laungan azan sentiasa bergema dan berpindah-pindah dari zon ke zon dunia yang lain secara tersusun. Dan akan berakhir di zon ia bermula.

Azan tidak pernah berhenti dilaungkan walaupun sehari sejak ia disyariatkan 1,400 tahun yang lalu. – Gambar hiasan
Terdapat satu penemuan terbaru yang berjaya membuktikan bahawa muka bumi ini tidak pernah sunyi daripada lantunan laungan azan.

Seterusnya akan disambung semula dengan azan yang lain sebagai tanda masuknya waktu solat yang lain. Begitulah azan dilaungkan berulang-ulang kali sehingga kiamat.

Subhanallah, betapa indah Allah mensyariatkan seruan azan ini. Justeru, marilah kita hayati kembali makna dan falsafah azan. Insya Allah pasti ada azimat di sebaliknya.

Jika hati dewasa kita sudah terlalu keras untuk memahami makna azan, marilah kita belajar daripada fitrah seorang kanak-kanak yang suka mendengar azan. Kembalikan kelembutan dan kekudusan hati ini. Semoga hati ini mampu kembali suci seperti anak-anak kecil yang suci dari dosa.

Bukan laungan biasa

Selain itu, rupa-rupanya laungan azan ini bukanlah yang biasa-biasa. Setiap kalimat yang dilaungkan bukan sekadar mampu mengagumkan hati, namun turut menyebabkan syaitan menderita kerananya.

Abu Hurairah ada menceritakan, Baginda S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya syaitan apabila mendengar azan, mereka berlari sehingga terkentut-kentut sehinggalah tidak terdengar lagi laungan azan.” (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain, Jabir berkongsi:

“Aku telah mendengar Rasulullah bersabda: ‘Sesungguhnya syaitan apabila mendengar azan, mereka berlari sehingga ke Rauha’.”

Rauha merupakan suatu tempat yang terletak kira-kira 36 kilometer dari Kota Madinah. Kesimpulannya, lantunan azan ini laungan yang paling indah bagi hati yang subur dengan ketakwaan. Namun tidak bagi hati yang kontang dan gersang daripada roh keimanan. – Agensi