Azarenka juarai Terbuka Miami benam Kuznetsova

Azarenka juarai Terbuka Miami benam Kuznetsova

MIAMI, 3 April (AFP) – Juara dua kali Terbuka Australia, Victoria Azarenka yang terlepas banyak kejohanan sejak dua musim lalu kerana masalah kecederaan, membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila memenangi gelaran ketiga tahun ini di Terbuka Miami, awal pagi tadi.

Bekas pemain nombor satu dunia dari Belarus itu menewaskan juara Grand Slam dua kali, Svetlana Kuznetsova dari Russia 6-3, 6-2 dalam aksi final untuk meraih gelaran ketiga di gelanggang keras Miami.

“Saya mempunyai banyak kenangan indah di sini. Ia adalah sesuatu yang seronok dapat datang ke sini,” kata Azarenka.

Azarenka yang turut bergelar juara di Miami pada 2009 dan 2011 memenangi gelaran ke-20 dalam kerjayanya dan menambah koleksi kejuaraan untuk 2016 selepas muncul juara di Brisbane dan Indian Wells yang menyaksikan dia menewaskan pemain nombor satu dunia, Serena Williams, dua minggu lalu.

Azarenka (tengah) meraikan kejayaan dengan trofi kemenangannya bersama pengarah kejohanan, Adam Barrett (kiri) dan Aldrich Sevilla-Sacasa selepas membenam Kuznetsova pada Kejohanan Peringkat Akhir Wanita Terbuka Miami di Terbuka di Crandon Park Tennis Center. – Reuters
Azarenka (tengah) meraikan kejayaan dengan trofi kemenangannya bersama pengarah kejohanan, Adam Barrett (kiri) dan Aldrich Sevilla-Sacasa selepas membenam Kuznetsova pada Kejohanan Peringkat Akhir Wanita Terbuka Miami di Terbuka di Crandon Park Tennis Center. – Reuters

“Saya sebenarnya mengalami kesukaran untuk mendapatkan semula motivasi secara mentalnya tetapi saya tidak pernah ragu-ragu dengan kemampuan saya.

“Apa yang paling penting adalah memastikan tubuh badan saya sihat dan beraksi dalam kejohanan seperti saya lakukan hari ini,” katanya.

Azarenka menjadi pemain ketiga yang menjuarai Terbuka Miami dan Indian Wells dalam satu musim selepas Steffi Graf melakukannya pada 1994 dan 1996 serta Kim Clijsters 2005.

Kejayaan itu menyaksikan dia akan melonjak ke ranking kelima dunia daripada kelapan, esok – kali pertama dia berada dalam kelompok lima terbaik sejak Mac 2014.