Azarenka kejutkan Serena final Indian Well

Azarenka kejutkan Serena final Indian Well

INDIAN WELLS, 21 Mac (AFP) – Victoria Azarenka mengejutkan pilihan utama, Serena Williams 6-4, 6-4 untuk merangkul kejuaraan kedua Master WTA Indian Wells, awal pagi tadi sekali gus memenangi gelaran ke-19 dalam kariernya.

Bintang tenis dari Belarus itu melakukan lima ace ketika jaguh tenis Amerika Syarikat (AS), Williams dikecewakan dengan 33 kesilapan mudah dan lima kesalahan berganda untuk melengkapkan permainan dalam tempoh 88 minit.

“Jelas ia bukan permainan yang dirancang saya,” kata Serena yang juga pemain nombor satu dunia.

“Saya fikir mungkin saya cuba untuk melawan rasa gemuruh.

“Saya bercakap dengan Patrick (Mouratoglou- Jurulatih) dan dia berkata kepada saya dia tidak pernah nampak saya bermain mendatar seperti itu.”

Azarenka bersama bendera dan piala kejuaraannya selepas berjaya menewaskan Serena di kejuaraan kedua Master WTA Indian Wells. – AFP
Azarenka bersama bendera dan piala kejuaraannya selepas berjaya menewaskan Serena di kejuaraan kedua Master WTA Indian Wells. – AFP

Azarenka yang juga bekas pemain nombor satu dunia dan kini menghuni ranking ke-15 disebabkan masalah kecederaan juga muncul pemain pertama menafikan Williams kemenangan trofi dalam empat kejohanan.

Hanya kakak Serena, Venus dan Azarenka pernah menewaskan Serena di pentas final sebanyak tiga kali sebelum ini. “Perasaannya cukup baik untuk melihat segala kerja keras saya lakukan membuahkan hasil,” kata Azarenka yang pernah memenangi gelaran sama pada 2012.

“Semua yang saya lalui sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia menjadikannya lebih istimewa.

“Saya lebih agresif. Saya mula untuk menggunakan servis seperti yang saya mahu gunakan. Mempunyai sasaran yang besar dalam minda dan bergerak ke arahnya selepas itu, ia adalah penukaran momentum pada gelanggang yang besar.”

Kemenangan bukan saja membawa Azarenka kembali ke kedudukan ranking 10 terbaik dunia iaitu ke ranking kelapan, malah hadiah wang tunai lumayan AS$1.02 juta.