Azizulhasni, Fatehah layak ke Rio

Azizulhasni, Fatehah layak ke Rio

SEPANG, 8 Mac (Bernama) – Yayasan Sime Darby (YSD) yakin dua pelumba berbasikal trek negara tajaannya, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa mampu memecahkan kemarau pingat negara di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, Ogos depan.

Pengerusinya Tun Musa Hitam berkata sasaran itu berasaskan prestasi kedua-dua pelumba berkenaan yang banyak memperoleh pingat dalam kejohanan berbasikal antarabangsa.

“Dari semasa ke semasa pungutan mata mereka semakin meningkat, satu prestasi yang sangat bagus. Saya nampak mereka ini sangat bekerja keras untuk berada di tahap ini,” katanya pada majlis pengumuman rasmi ‘Road to Rio’ di sini, hari ini.

Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman itu meraih pingat gangsa pada saingan final acara keirin, Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2016 di Lee Valley Velopark, Stratford, London pada Ahad.

Jaguh pecut, Azizulhasni Awang (kanan) bersama Fateha Mustapa menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya pada UCI Track Cycling World Championships yang lalu pada sidang media persediaan Olimpik Brazil hari ini. – Bernama
Jaguh pecut, Azizulhasni Awang (kanan) bersama Fateha Mustapa menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya pada UCI Track Cycling World Championships yang lalu pada sidang media persediaan Olimpik Brazil hari ini. – Bernama

Untuk rekod, beliau juga berjaya meraih satu pingat emas dan perak pada Kejohanan Asia 2015; satu pingat emas dan perak Kejohanan Asia 2014; dan satu pingat gangsa pada Sukan Komanwel 2014.

Fatehah pula berjaya meraih satu pingat emas, perak dan gangsa di Kejohanan Lumba Basikal Asia 2013; dua pingat emas di Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix Asia Tenggara 2013, pingat perak Sukan Asia 2014 dan pingat perak Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2014.

Dalam pada itu, Musa berkata pada asalnya YSD memberikan penajaan RM2 juta untuk program ‘Road to London’ bagi Sukan Olimpik 2012 bermula pada tahun 2010, namun hasil prestasi cemerlang dua pelumba trek negara itu dan bekas pelumba trek, Josiah Ng di London, YSD mengambil keputusan meneruskan penajaan sebanyak RM2.85 juta bermula Februari 2013 sehingga Ogos 2016.

ARTIKEL YANG SAMA