Azmainshah menang 2-0

Azmainshah menang 2-0

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Satu gol pada setiap separuh masa sudah cukup untuk Azmainshah memberi kejutan kepada Kota Ranger FT dengan jaringan 2-0 dalam aksi Kumpulan D Futsal Piala Perdana TelBru 2015.

Pada perlawanan di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan, Azmainshah mendahului 1-0 seawal minit ke-4 menerusi jaringan Md Nasrul sebelum bertahan dengan asakan Kota Ranger FT sehingga rehat.

Selepas rehat, Kota Ranger FT terus mengawal perlawanan tetapi berterusan gagal menembusi pertahanan kental Azmainshah, yang sekali-sekala melakukan serangan balas pantas untuk mendapatkan gol tambahan.

Taktik Azmainshah akhirnya membuahkan hasil tatkala perlawanan hanya berbaki tiga minit lagi apabila berjaya menambah jaringannya untuk mendahului 2-0 menerusi rembatan Md Nurhanif.

Azmainshah (biru) mengejutkan Kota Ranger FT 2-0 dalam saingan Kumpulan D Futsal Piala Perdana TelBru 2015.
Azmainshah (biru) mengejutkan Kota Ranger FT 2-0 dalam saingan Kumpulan D Futsal Piala Perdana TelBru 2015.

Jaringan itu walaupun masih belum memastikan kemenangan buat Azmainshah, para pemainnya berjaya memastikan Kota Ranger FT terus buntu membolosi gawangnya sehingga perlawanan tamat.

Kemenangan itu mampu memberikan nafas lega kepada pegawai dan pemain Azmainshah selepas dikecewakan 2-3 oleh JW FT Ahad lepas, dan kini hanya MBS United SC menjadi penghalang kemaraan mereka ke pusingan kedua kejohanan.

Mereka akan bertemu dengan MBS United SC dalam perlawanan terakhir Kumpulan D pada Jumaat, 4 September nanti di Dewan Serba Guna, KSNHB, bermula pukul 9:30 malam.