Azri, Firdaus mengaku bersalah rompak dan rogol

Azri, Firdaus mengaku bersalah rompak dan rogol

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Okt – Dua lelaki tempatan mengaku bersalah di Mahkamah Perantaraan, hari ini, atas pertuduhan rompakan secara berkumpulan dan salah seorang daripada mereka juga mengaku salah atas kesalahan merogol.

Muhammad Azri bin Azman, 19 dan Mohammad Firdaus bin Abu Bakar, didakwa mencuri $130 daripada seorang remaja perempuan berusia 17 tahun (mangsa) pada 5 Oktober di mana duit itu mereka gunakan untuk membeli syabu.

Menurut fakta kes, sekitar 27 September, mangsa yang berusia 17 tahun dari Daerah Temburong telah membuat post dalam media sosial Facebook bahawa dia ingin mencari rumah untuk disewa dan juga mencari pekerjaan.

Muhammad Azri melihat post itu terus menawarkan mangsa untuk tinggal di rumahnya di Jerudong, dan menawarkan diri untuk mengambil mangsa di Bandar pada 1 Oktober.

Pada 5 Oktober, Muhammad Azri bersepakat dengan Mohammad Firdaus untuk mencuri wang dari mangsa dengan mengikatnya. Sekitar jam 9:30 malam, kedua-dua tertuduh memasuki bilik mangsa di mana Muhammad Azri menutup kepala mangsa dengan tuala dan menumbuk mukanya beberapa kali.

mahkamah

Mohammad Firdaus yang melihat mangsa yang mula menangis dan menjerit meminta bantuan, terus menutup mulut mangsa.

Muhammad Azri kemudian mengikat tangan dan kaki mangsa dengan tali.

Selepas menyuruh Mohammad Firdaus keluar dari bilik, Muhammad Azri terus merogol mangsa.

Muhammad Azri kemudian meminta bantuan Mohammad Firdaus untuk mengangkat mangsa ke dalam keretanya, dan memandunya ke Kampung Panchur Murai dan meninggalkannya di kawasan itu.

Mangsa ditemui oleh polis pada malam yang sama selepas menerima maklumat daripada orang ramai yang terlihat mangsa merayau-rayau di kawasan terbabit. Mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, dan siasatan dijalankan oleh polis.

Muhammad Azri ditangkap pada 9 Oktober sekitar jam 10 pagi manakala Mohammad Firdaus ditahan kira-kira jam 1 petang pada hari yang sama.

Kertas pertuduhan menyebut, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 30 tahun dan sebat tidak kurang dari 12 sebatan untuk rompakan secara berkumpulan, dan menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Muhammad Azri turut berdepan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 30 tahun dan sebat untuk kesalahan merogol mangsa.

Hakim Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin menetapkan 20 Oktober untuk sebutan semula.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norjauinah binti Haji Kula.

ARTIKEL YANG SAMA